Perjalanan antara Singapura - Brunei dibenarkan tanpa kuarantin

Astro Awani
September 1, 2020 07:45 MYT
Keputusan itu diumumkan dalam kenyataan bersama Kementerian Luar kedua-dua negara pada Selasa.
PENDUDUK Singapura dan Brunei boleh melakukan perjalanan antara kedua-dua negara hanya untuk tujuan perniagaan dan urusan rasmi sahaja.
Keputusan itu dibuat selepas kedua-dua negara berkenaan bersetuju mewujudkan Laluan Hijau Timbal Balik, menurut kenyataan bersama dikeluarkan Kementerian Luar Singapura dan Brunei pada Selasa.
Terdahulu, Singapura memaklumkan, penduduk dari Brunei dan New Zealand tidak perlu untuk kuarantin di rumah namun mereka akan disaring COVID-19 sebaik tiba di negara berkenaan.
Penduduk Singapura dan Brunei mesti berada di negara masing-masing dalam tempoh 14 hari sebelum memulakan perjalanan dan saringan mesti diambil sekurang-kurangnya 72 jam sebelum berlepas ke negara lain.
Bagi pelancong Brunei, mereka dikehendaki memohon Safe Travel Pass melalui agensi kerajaan di Singapura.
Segala kos saringan juga akan ditanggung oleh mereka yang ingin membuat perjalanan.
Ketika ini, Singapura juga sedang menjalinkan kerjasama bersama beberapa negara bagi laluan hijau ini.
Ia termasuk sedang dalam rundingan bersama Jepun dan Indonesia bagi perjalanan melibatkan perniagaan.
Dalam pada itu, Indonesia berharap agar kerjasama perjalanan Laluan Hijau Timbal Balik dengan Singapura dapat dijalinkan segera.
Menurut presiden Joko Widodo, beliau menyatakan harapan itu dalam usaha untuk menjana semula ekonomi dan perniagaan negara republik itu.
Jelas beliau, Singapura adalah pelabur terbesar bagi Indonesia.
Pada suku pertama tahun 2020, Singapura adalah pelabur asing utama Indonesia dengan jumlah pelaburan sebanyak US$2.7 bilion.
Jelas Jokowi, jalur hijau ini juga dapat menarik pelabur asing masuk ke Indonesia.
Minggu lalu, kedua-dua negara sudah memulakan perbincangan mengenai perjalanan itu bagi membolehkan hanya urusan penting dan perniagaan sahaja dibenarkan.
#Brunei #COVID-19 #ekonomi #Indonesia #Jepun #Joko Widodo #Kementerian Luar #kerajaan #koronavirus #kuarantin #laluan hijau #Laluan Hijau Timbal Balik #New Zealand #pelaburan #pelancong #perjalanan #presiden #rentas sempadan #rumah #Safe Travel Pass #Singapura
;