Periuk api menyebabkan 264 orang awam terbunuh sehingga ini di Ukraine

Bernama
November 2, 2023 21:30 MYT
Tanda bahaya periuk api dilihat berhampiran kawasan yang dilanda banjir selepas empangan Nova Kakhovka dipecahkan, di tengah-tengah serangan Rusia ke atas Ukraine, di kampung Snihurivka, wilayah Kherson, Ukraine, 8 Jun 2023. - Gambar fail REUTERS
KYIV: Sekurang-kurangnya 264 orang awam terbunuh dalam letupan periuk api di Ukraine sejak tercetusnya konflik dengan Rusia, menurut pakar di Kementerian Pertahanan Ukraine pada Rabu, lapor Xinhua.
Sejak Februari 2022, sekurang-kurangnya 561 insiden periuk api berlaku di Ukraine, mencederakan 571 orang, menurut Perkhidmatan Pengangkutan Khas Negara itu di Facebook.
Kebanyakan insiden berlaku di ladang pertanian, jalan, gudang dan hutan, katanya.
Menurut kerajaan Ukraine, kawasan seluas kira-kira 174,000 kilometer persegi kawasan di negara itu dipercayai dicemari periuk api dan bahan letupan yang lain.
-- BERNAMA
#periuk api #orang awam terbunuh #konflik Rusia-Ukraine #Ukraine