Perisikan AS dapat petunjuk awal pemberontakan tentera Wagner

Astro Awani
Jun 26, 2023 09:00 MYT
Yevgeny Prigozhin. - Gambar fail AP
AGENSI perisik Amerika Syarikat (AS) mengesan beberapa petunjuk yang mendakwa Yevgeny Prigozhin, ketua kumpulan tentera upahan Wagner, sedang bersiap sedia untuk menentang pertahanan Moscow.
Berdasarkan laporan media tempatan, perisik AS sudah mengesan petunjuk berhubung rancangan mengadakan pemberontakan pada Jumaat (23 Jun) itu, sejak pertengahan bulan ini lagi.
Malah, menurut Washington Post dan New York Times, pegawai perisikan sudah memberi taklimat kepada White House, Pentagon dan Capitol Hill mengenai kemungkinan pergolakan senjata di Rusia itu, sehari sebelum ia berlaku.
Lapor Washington Post, agensi perisikan itu mula menjejaki petunjuk bahawa Prigozhin dan pasukan Wagner mahu menentang tentera Rusia pada pertengahan bulan ini.
New York Times pula melaporkan, maklumat itu kukuh dan amat membimbangkan.
Pemberontakan yang berlaku dalam tempoh 24 jam dan sangat pantas menyaksikan tentera Prigozhin berpindah dari kem mereka di Ukraine menuju ke Rusia pada Jumaat, sebelum mengambil alih markas tentera di bandar selatan Rostov-on-Don dan kemudian meneruskan kemaraan ke Moscow.
Namun, langkah itu terpaksa dibatalkan dan media Rusia melaporkan pasukan tentera Wagner kembali ke Ukraine, manakala Prigozhin melarikan diri ke negara jiran, Belarus.
New York Times melaporkan, ketika mana pegawai perisikan AS memaklumkan bahawa Prigozhin sedang menyiapkan tindakan ketenteraan, mereka menyuarakan kebimbangan mengenai situasi huru-hara di negara yang mempunyai senjata nuklear itu.
Menurut laporan Washington Post, agensi perisikan AS percaya Presiden Vladimir Putin sendiri dimaklumkan mengenai rancangan pemberontakan Prigozhin sekurang-kurangnya sehari sebelum ia berlaku.
#Rusia #kremlin #perisik AS #Belarus
;