Perintah berkurung jalin persahabatan unik antara warga emas Perancis dan pelajar British

Agensi
Mac 27, 2021 09:35 MYT
Tolu (kiri) dibantu seorang petugas untuk menghubungkan komunikasinya dengan pelajar bahasa dari Britain. - Reuters
BONNEUIL-SUR-MARNE: Bagi Jacqueline Tolu, seorang wanita Perancis berusia 98 tahun, dan Elliot Bellman, seorang pelajar berumur 20 tahun yang tinggal di rumah ibu bapanya di England, pandemik COVID-19 bukan sekadar mengubah kehidupan mereka, malah telah mencetus jalinan persahabatan unik.
Tolu telah menjalani tempoh pengasingan di rumah jagaan orang tua di Paris susulan tiada lawatan dibenarkan semasa pandemik. Bellman pula terpaksa melupakan perancangan untuk menyambung pengajian bahasa Perancis di kota yang ikonik dengan Menara Eiffel itu, gara-gara COVID-19.
Sepanjang enam bulan lalu, dua individu itu berhubung setiap minggu menerusi Skype. Mereka dipertemukan menerusi skim Shareami yang menggandingkan warga emas dengan pelajar jurusan bahasa.
Tolu kini mempunyai seseorang untuk dia bersembang dan melenyapkan kesepiannya, manakala Bellman kini sudah ada peluang untuk berlatih berbahasa Perancis dengan warganegara penutur bahasa itu.
“Saya agak berdebar untuk berkenalan dengan orang baharu yang latar generasi, budaya dan bahasa yang berbeza.
“Namun, sejurus saya berbual dengannya, dia sangat peramah, lucu dan mudah diajak bersembang.
“Kami membina sebuah persahabatan,” ujar Bellman, yang kini dalam tahun ketiga pengajian bahasa Perancis, Sepanyol dan Jepun di Universiti Warwick, Britain.
Dalam pertemuan mingguan mereka pada setiap Isnin, Bellman mendail nombor telefon Tolu dari bilik tidurnya di Kent, selatan England. Tolu pula menerima panggilan itu sambil duduk di atas kerusi rodanya di rumah jagaan warga tua di Bonneuil-sur-Marne.
Bellman sempat menunjukkan kraf angsa origami yang dihasilkannya kepada Tolu sambil bercerita tentang pengajian bahasa Jepunnya. Tolu pula sempat berkongsi kenangannya sewaktu zaman Perang Dunia Kedua.
Tolu memberitahu, perbualan itu membolehkan fikirannya bebas daripada rasa terkurung di rumah warga tua tersebut, walaupun cuma sebentar.
“Semua ini memberikan saya keseronokan,” ujarnya kepada Reuters.

** Setiap Sabtu dan Ahad, AstroAwani.com membawakan artikel santai dan merangkumi pelbagai topik menarik seperti pelancongan, pemotoran, gaya hidup, hobi, kekeluargaan, kesihatan, pengetahuan am, trivia dan banyak lagi. Ikuti #SantaiHujungMinggu !
#pandemik #COVID-19 #perintah berkurung #sekatan pergerakan #pelajar british #warga emas #pencen #jurusan bahasa #bahasa perancis #weekender #shm
;