Perintah berkurung di Sri Lanka dilanjutkan sehingga 11 Mei

Bernama
Mei 10, 2022 18:09 MYT
Kumpulan aktivis pro dan antikerajaan bertempur di tengah-tengah perintah darurat dikuat kuasa. - Foto AP
NEW DELHI: Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa pada Selasa melanjutkan perintah berkurung sehingga 11 Mei susulan bantahan yang masih berterusan di negara ini.
"Saya mengarahkan semua tidak menggunakan jalan raya, kereta api, taman awam, kawasan rekreasi dari 7 malam 9 Mei hingga 7 pagi 11 Mei," katanya.
Pertempuran di Colombo pada Isnin, menyebabkan tujuh nyawa terkorban dan mencederakan 231 yang lain, 218 daripadanya dimasukkan ke hospital, lapor Sputnik memetik media Sri Lanka News First.
Kumpulan aktivis pro dan antikerajaan bertempur di tengah-tengah perintah darurat dikuat kuasa. Penunjuk perasaan turut bertindak membakar kediaman perdana menteri dan presiden.
Sri Lanka dicengkam kebuntuan politik disebabkan krisis ekonomi terburuk yang pernah melanda negara ini sejak mencapai kemerdekaan pada 1948.
-- BERNAMA
#Sri Lanka #perintah berkurung #Presiden Sri Lanka #Gotabaya Rajapaksa #Bantahan
;