Perintah berkurung di Australia mencabar dalam situasi berdepan kebakaran hutan

Hilmi Malik
Februari 2, 2021 17:48 MYT
Kebakaran hutan yang berlaku di sekitar Perth agak mencabar apabila dalam masa yang sama terpaksa berdepan dengan pelaksanaan perintah berkurung selama lima hari. - Gambar AP
KUALA LUMPUR: Kira-kira dua juta rakyat Australia telah memulakan perintah berkurung selama lima hari yang berkuatkuasa pada Isnin sebaik sahaja negara itu mengesan satu kes positif COVID-19 di bandaraya Perth.
Jangkitan pertama sejak tempoh hampir 10 bulan itu melibatkan seorang pengawal keselamatan yang bertugas di sebuah hotel kuarantin selepas dia dijangkiti varian COVID-19 mudah berjangkit dari Britain.
Setakat ini, seramai 66 individu yang dikatakan mempunyai kontak rapat bersama pengawal keselamatan tersebut bagaimanapun disahkan negatif.
Dalam pada itu, bandar Perth turut berdepan situasi sukar apabila insiden kebakaran hutan tercetus yang memaksa beberapa jumlah penduduk di kawasan itu untuk berpindah.
Difahamkan, sebanyak 30 buah rumah telah musnah sepenuhnya akibat kejadian yang berpunca daripada faktor angin kencang menyebabkan api merebak dengan pantas.
Situasi berkenaan menyaksikan Australia berdepan dengan dua cabaran utama apabila kebakaran hutan tersebut berlaku sewaktu pelaksanaan perintah berkurung.
Bagaimanapun, pihak berkuasa menyeru orang ramai untuk terus kekal di rumah sementara pihak bomba masih cuba untuk mengawal kebakaran.
Perdana Menteri Australia, Scott Morrison sebelum ini mengumumkan, bahawa negara itu akan mengeluarkan belanja sebanyak AUS$4.4 bilion bagi memperoleh dos vaksin untuk penggunaan 26 juta populasi.
#Australia #Perth #COVID-19 #kes positif #Scott Morrison #kebakaran
;