Perikatan syarikat penerbangan tambang murah Asia Pasifik dibentuk

Bernama
Mei 17, 2016 20:50 MYT
Tigerair Australia serta tujuh lagi syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Asia, akan menggabungkan usaha memperluas peta laluan dan menawarkan kadar terendah.
Satu perikatan baharu menggabungkan lapan syarikat penerbangan tambang murah dibentuk bagi membolehkan lebih ramai rakyat Australia mempunyai akses kepada perjalanan antarabangsa pada kos yang lebih rendah, kata Ketua Pegawai Eksekutif Tigerair Australia, Rob Sharp, pada Selasa.
Agensi berita China, Xinhua, melaporkan bahawa Tigerair, subsidiari syarikat penerbangan Virgin Australia, memeterai perjanjian bagi menyertai Value Alliance, satu perikatan penerbangan tambang murah terbesar di dunia, yang bakal menyebabkan berlakunya perang harga dalam kalangan syarikat penerbangan tambang murah di rantau Asia.
Di bawah perjanjian itu, Tigerair Australia serta tujuh lagi syarikat penerbangan tambang murah yang berpangkalan di Asia, akan menggabungkan usaha memperluas peta laluan dan menawarkan kadar terendah kepada penumpang, dengan bantuan beberapa pakar industri dalam memberikan tip bagi mengurangkan harga sehingga 30 peratus.
Sharp berkata langkah itu akan membolehkan lebih ramai rakyat Australia melancong pada kos yang rendah kerana Value Alliance bertekad menawarkan harga yang jauh lebih murah berbanding pesaingnya, Jetstar dan Air Asia, pada masa sama, membolehkan anggota perikatan berkongsi jadual perjalanan, tawaran istimewa serta peta laluan untuk menjadikan tempahan bagi mendapatkan tambang paling murah lebih mudah.
"Ini akan membolehkan rakyat Australia memanfaatkan keseluruhan rangkaian yang luas di kesemua lapan syarikat penerbangan. Ini bermakna apabila anda melayari laman sesawang Tigerair, anda akan ditawar tambang termurah pada hari itu bagi semua syarikat penerbangan yang meliputi 160 destinasi," kata Sharp kepada News Corp pada Selasa.
Beliau berkata perikatan itu juga menawarkan kemudahan tambahan kepada pengunjung dari Asia ke Australia yang membolehkan mereka mendapatkan tambang murah apabila menempah penerbangan domestik, dan proses tersebut akan diselaras kepada pengunjung ke luar negara.
"Ia juga akan membolehkan lapan syarikat penerbangan terbabit menjual jadual perjalanan, yang termasuk tambang domestik Tigerair. Ini memperluas saluran pengedaran kami dan akan membawa lebih ramai penumpang ke Tigerair.
"Ini adalah satu pengubah permainan sebenar dari segi apa yang syarikat penerbangan tambang murah mampu tawarkan. Sehingga kini, amat mencabar bagi mana-mana syarikat penerbangan untuk melakukan jualan silang namun kaedah ini membolehkan ia dilakukan tanpa menjejas kedudukan jenama kami," katanya.
Turut menganggotai Value Alliance ialah syarikat penerbangan tambang murah Cebu Pacific (Filipina), Jeju Air (Korea Selatan), Nok Air dan NokScoot (Thailand), Scoot (Singapura), Tigerair Singapura dan Vanilla Air (Jepun).
#penerbangan tambang murah #perikatan Asia Pasifik #Value Alliance
;