Perhimpunan IATA Geneva rangka masa hadapan industri penerbangan

Bernama
Disember 5, 2022 15:42 MYT
IATA berkata permintaan untuk pengangkutan udara terus pulih walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik.
KUALA LUMPUR: Industri penerbangan menarik nafas lega apabila sekatan perjalanan telah pun berakhir tetapi cabaran tetap wujud dalam bentuk inflasi, risiko kemelesetan dan pertukaran asing yang tidak stabil yang masih boleh menjejaskan proses pemulihan mereka.
Memandangkan 'ketidakpastian' ini, banyak pihak tertumpu kepada pendirian Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) mengenai masa depan industri itu ketika para jurnalis berkumpul di Geneva minggu ini untuk Hari Global Media selepas tertangguh selama dua tahun.
Antara yang akan mendapat fokus khusus adalah trafik, kargo, keselamatan serta kemampanan yang akan dikemas kini.
Industri penerbangan yang menyumbang secara signifikan kepada kesalinghubungan, ekonomi dan perdagangan global terjejas teruk oleh sekatan perjalanan akibat COVID-19 tetapi telah menyaksikan pemulihan yang stabil bermula hujung 2021.
IATA berkata permintaan untuk pengangkutan udara terus pulih walaupun terdapat ketidaktentuan ekonomi dan geopolitik; bagaimanapun, industri ini masih memerlukan pembukaan semula sepenuhnya China bagi pengembangan perjalanan antarabangsa.
Pada Oktober tahun ini sahaja, angka trafik dalam pendapatan penumpang kilometer (RPK) melonjak 44.6 peratus dari tahun ke tahun, dan di peringkat global, trafik kini berada pada 74.2 peratus berbanding tahap pra-pandemik bulan yang sama semasa 2019.
Bagaimanapun, trafik domestik menjelang Oktober 2022 susut sebanyak 0.8 peratus dari tahun ke tahun selepas sekatan perjalanan berkaitan COVID-19 di China menjejaskan angka global, dengan tempahan hadapan domestik kekal pada sekitar 70 peratus daripada tahap sebelum pandemik.
Sementara itu, trafik antarabangsa menokok 102.4 peratus dari tahun ke tahun, dengan RPK antarabangsa mencecah 72.1 peratus berbanding paras Oktober 2019 selepas semua pasaran mencatatkan pertumbuhan yang kukuh.
Tempahan bagi perjalanan antarabangsa naik kepada sekitar 75 peratus daripada tahap pra-pandemik, di tengah-tengah pembukaan semula beberapa ekonomi Asia.
"Secara tradisi, menjelang Oktober kami akan memasuki musim perjalanan musim luruh yang lebih perlahan di Hemisfera Utara, jadi sangat meyakinkan untuk melihat permintaan dan tempahan ke hadapan terus menjadi kukuh.
"Ini merupakan petanda baik untuk musim sejuk yang akan datang dan pemulihan yang berterusan," kata Ketua Pengarah IATA, Willie Walsh baru-baru ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Aviation Group, Kapten Izham Ismail berkata syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines, menyaksikan kenaikan tambang purata bagi pasaran antarabangsa serta domestik yang didorong oleh permintaan terpendam, kapasiti terhad termasuk impak daripada bahan api dan pergerakan mata wang, antara lain.1
Ini telah menyebabkan peningkatan ketara dalam kos jualan sejak tiga suku lepas, kata Izham, yang juga ahli lembaga gabenor IATA.
"Bagaimanapun, kami sedang memberi tumpuan dalam mengharungi cabaran kenaikan harga bahan api dan pertukaran asing.
"Syarikat penerbangan perlu menangani ketidaktentuan ekonomi global yang kami jangkakan akan kekal, sekurang-kurangnya sehingga akhir suku ketiga 2023," katanya kepada Bernama.
Di sebalik pendirian berhati-hati ini, syarikat penerbangan berharap dapat meningkatkan kapasiti menjelang suku keempat 2022 kepada 76 peratus berbanding paras 2019.
Manakala, pasaran kargo udara terus terjejas oleh permintaan yang lebih lemah pada Oktober 2022, dengan permintaan global, diukur dalam kargo tan-kilometer (CTK), merosot sebanyak 13.6 peratus dari tahun ke tahun.
Kapasiti adalah 0.6 peratus lebih rendah dari tahun ke tahun, penguncupan dari tahun ke tahun pertama sejak April 2022.
Bagaimanapun, dari bulan ke bulan, kapasiti bertambah sebanyak 2.4 peratus sebagai persediaan untuk musim puncak menjelang akhir tahun.
-- BERNAMA
#IATA #Geneva #Hari Global Media #industri penerbangan
;