NEW YORK: Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Selasa menerima pakai resolusi untuk menetapkan 15 Mac sebagai Hari Antarabangsa Memerangi Islamofobia.

Resolusi itu, diperkenalkan Pakistan bagi pihak Pertubuhan Kerjasama Islam, menyeru usaha antarabangsa untuk mempromosi budaya toleransi dan keamanan di semua peringkat, dengan menghormati hak asasi manusia, kepelbagaian agama dan kepercayaan, lapor Xinhua.

Di samping itu resolusi berkenaan turut mengecam keras semua tindakan keganasan terhadap umat manusia sama ada berdasarkan agama atau kepercayaan dan tempat ibadat yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Semua negara anggota, agensi PBB, organisasi antarabangsa dan serantau yang lain, masyarakat awam, sektor swasta dan pertubuhan agama diseru menganjur dan menyokong apa juga usaha di pelbagai peringkat, bertujuan meningkatkan kesedaran secara berkesan bagi mengekang Islamofobia, dan meraikan Hari Antarabangsa dengan cara yang sesuai.

-- BERNAMA