Perhimpunan Agung PBB mulakan debat umum
Bernama
September 20, 2023 12:10 MYT
September 20, 2023 12:10 MYT
NEW YORK: Debat Umum sesi ke-78 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dibuka di ibu pejabat PBB di sini pada Selasa, dengan tumpuan kepada pemulihan kepercayaan dan solidariti global dalam masa yang mencabar ketika ini, lapor Xinhua.
Presiden sesi ke-78 Perhimpunan Agung PBB, Dennis Francis mengendalikan pembukaan debat itu yang bertemakan "Rebuilding trust and reigniting global solidarity: Accelerating action on the 2030 Agenda and its Sustainable Development Goals (SDG) towards peace, prosperity, progress and sustainability for all".
Dalam ucapan pembukaannya, Francis menekankan kepentingan menyatukan negara-negara untuk menangani cabaran global.
"Tahun ini, imperatif kita adalah jelas: untuk menyatukan negara-negara, untuk bersatu dalam keyakinan atas tujuan bersama dan dalam solidariti tindakan bersama," katanya.
Beliau berkata dunia mempunyai kapasiti untuk melaksanakan perubahan jika ada kemahuan untuk bertindak.
"Walaupun kita menghadapi banyak cabaran dan rumit, kita mempunyai keupayaan untuk melaksanakan perubahan, perubahan yang berkesa... Apa yang kita kurang ialah kemahuan untuk bertindak," kata Francis.
"Dengan mengetepikan perbezaan dan merapatkan jurang, kita boleh menyampaikan, kita mesti menyampaikan keamanan, kemajuan, kemakmuran dan kemampanan kepada semua orang, di mana-mana sahaja. Jadi marilah kita melangkah dan bertindak sekarang."
Francis pada masa sama menyeru usaha untuk membawa keamanan di Ukraine dan kawasan lain di dunia, dari Afrika ke Asia Barat.
"Saya menggesa anda, negara-negara anggota, untuk menggunakan minggu peringkat tinggi ini bukan untuk menyemarakkan api konflik dan permusuhan, tetapi sebaliknya, memilih dialog dan diplomasi. Kita mesti ingat bahawa keamanan adalah pelaburan dalam kemakmuran kolektif kita," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres dalam laporan "keadaan dunia" yang dikeluarkan tepat sebelum debat umum tahun ini, beliau menyeru institusi multilateral yang berkesan untuk menangani cabaran global.
"Dunia telah berubah. Institusi kami belum. Kita tidak boleh menangani masalah dengan berkesan jika institusi tidak mencerminkan dunia seperti apa adanya. Daripada menyelesaikan masalah, mereka berisiko menjadi sebahagian daripada masalah," katanya.
Guterres turut memberi amaran bahawa dunia semakin tidak stabil.
"Ketegangan geopolitik semakin meningkat. Cabaran global semakin meningkat. Dan kita nampaknya tidak mampu bersatu untuk bertindak balas," katanya.
Dunia berhadapan dengan pelbagai ancaman wujud, daripada krisis iklim kepada teknologi yang mengganggu, dan dunia sedang mengalami peralihan yang huru-hara, tambahnya.
--BERNAMA-XINHUA