Pergolakan di Perancis, Macron pertimbang sekat media sosial

Bernama
Julai 5, 2023 18:22 MYT
Macron menyalahkan media sosial sebagai punca kepada peningkatan keganasan semasa protes terhadap kekejaman polis. -Gambar fail/AP
PARIS: Presiden Emmanuel Macron sedang mempertimbangkan untuk menyekat media sosial dalam usaha Perancis untuk menghalang pergolakan terus berleluasa, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Beliau berkata perlu untuk mempertimbangkan perkara itu memandangkan penggunaan rangkaian media sosial oleh golongan muda yang menyertai protes dan kemungkinan untuk mengenakan sekatan.
"Dan jika keadaan menjadi tidak terkawal, anda mungkin perlu meletakkan diri anda dalam kedudukan untuk mengawal (rangkaian sosial) atau menutupnya.
"Itu pasti tidak dapat dilakukan ketika keadaan tengah tegang dan saya lega jika tidak perlu berbuat demikian," kata Macron pada Selasa.
Pada Jumaat, Macron menyalahkan media sosial sebagai punca kepada peningkatan keganasan semasa protes terhadap kekejaman polis.
Beliau berkata perhimpunan ganas telah dianjurkan melalui media sosial dan apabila ia menjadi alat untuk perhimpunan atau cubaan membunuh, itu merupakan adalah isu yang sangat serius.
Sementara itu, di utara Perancis, kawalan di sempadan dengan Belgium diperketatkan untuk menyekat import bunga api, lapor akhbar Le Parisien.
Tujuannya untuk mengelakkan perusuh menyimpan stok bunga api.
Wilayah di utara Perancis turut mengeluarkan larangan penjualan dan membawa bunga api serta petrol dalam tong sehingga pertengahan Julai.
Perancis telah digemparkan dengan rusuhan, sejak kematian Nahel, 17, yang ditembak anggota polis pada minggu lalu.
Pegawai yang melepaskan tembakan ke arah pemuda itu sedang disiasat atas dakwaan cubaan membunuh.
-- BERNAMA
#Emmanuel Macron #media sosial #cubaan membunuh #halang pergolakan
;