‘Pergaduhan’ dengan Trump tidak halang Ukraine untuk ‘sedia’ tandatangani perjanjian mineral dengan AS - Zelenskyy

Agensi
Mac 2, 2025 07:30 MYT
Gambar yang dirakamkan pada 28 Februari lalu menunjukkan Zelenskyy (kiri) 'dimarahi' oleh Presiden Trump semasa pertemuan di White House. - Gambar Reuters
LONDON: Volodymyr Zelenskyy berkata, beliau masih "bersedia menandatangani" perjanjian mineral antara Amerika Syarikat (AS) dan Ukraine walaupun meninggalkan White House tanpa sebarang persetujuan dicapai, pada Jumaat lalu.
Presiden Ukraine itu memberitahu wartawan, walaupun pertemuannya dengan Presiden AS, Donald Trump, minggu lalu berlangsung dalam suasana tegang, beliau masih mahu mengadakan "dialog konstruktif" dengan AS.
Namun, beliau menegaskan: "Saya hanya mahu pendirian Ukraine didengari."
“Kami mahu rakan-rakan kami mengingati siapa sebenarnya penceroboh dalam perang ini,” tambahnya.
Apabila hubungan antara AS dan Ukraine mula tegang akibat cara pentadbiran Trump mengendalikan rundingan damai dengan Rusia, perjanjian mineral itu sepatutnya menjadi langkah awal ke arah hubungan keselamatan yang lebih kukuh antara kedua-dua negara.
Namun, selepas Zelenskyy, Trump dan Naib Presiden AS, JD Vance, terlibat dalam pertengkaran sengit di hadapan media di Pejabat Oval, pemimpin Ukraine itu diminta meninggalkan mesyuarat tanpa perjanjian tersebut ditandatangani.
Kenyataan Zelenskyy itu dibuat selepas Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, memberitahu CBS News "mustahil untuk mencapai perjanjian ekonomi tanpa terlebih dahulu mencapai perjanjian damai."
Bessent mendakwa, Zelenskyy telah "mengganggu urutan" bagaimana perjanjian mineral dan rundingan damai sepatutnya dijalankan, dengan memilih untuk membincangkan isu tersebut secara terbuka berbanding secara tertutup.
Bercakap selepas sidang kemuncak pemimpin Eropah di London pada Ahad, Zelenskyy berkata, konfrontasi yang tercetus dalam mesyuaratnya di Washington tidak memberi manfaat kepada AS atau Ukraine sebagai rakan sekutu, sebaliknya hanya menguntungkan Presiden Rusia, Vladimir Putin.
Namun, beliau menyatakan kesediaannya untuk kembali ke White House jika dijemput.
Walau bagaimanapun, Zelenskyy enggan mengulas mengenai kemungkinan menyerahkan wilayah Ukraine kepada Putin sebagai sebahagian daripada perjanjian damai cadangan yang dikemukakan oleh pegawai Trump atau menyatakan kekesalan atas cara beliau menangani mesyuarat dengan Trump.
Sejak Rusia melancarkan pencerobohan besar-besaran ke atas Ukraine pada Februari 2022, Moscow kini menguasai kira-kira 20 peratus wilayah Ukraine.
Zelenskyy bercakap kepada media di London selepas sidang kemuncak di mana pemimpin dunia bersetuju dengan pelan empat perkara untuk bekerjasama dengan Ukraine bagi menghentikan perang dan mempertahankan negara itu daripada serangan Rusia pada masa hadapan.
Menurut Perdana Menteri UK, Keir Starmer, UK, Perancis dan beberapa negara lain akan membentuk "pakatan negara yang bersedia" bagi meningkatkan usaha mereka dan berusaha melibatkan AS dalam menyokong Ukraine. - Agensi
#Volodymyr Zelenskyy #Donald Trump #perjanjian mineral #White House
;