Perenang remaja mati ditikam bertubi-tubi oleh teman lelaki gara-gara cemburu
Agensi
Disember 28, 2018 09:08 MYT
Disember 28, 2018 09:08 MYT
Seorang perenang remaja Rusia menemui ajal dalam insiden paling kejam apabila ditikam sekurang-kurangnya 30 kali oleh teman lelakinya sendiri.
Safia Askarova, 16, yang dilihat sebagai perenang harapan negara itu untuk menyerlah di peringkat antarabangsa, dibunuh akibat rasa cemburu oleh teman lelakinya, Nikita Malygin.
Media tempatan melaporkan, berdasarkan pengakuan suspek sendiri, Askarova menerima padah tersebut selepas membuat keputusan memutuskan hubungan dengan Malygin kerana lebih mengutamakan cita-citanya mengejar pingat Olimpik.
Malygin juga merupakan perenang elit seangkatan, namun prestasinya tidak menyerlah seperti Askarova.
Polis memberitahu, Askarova ditikam sekurang-kurangnya 30 kali di bahagian leher, dada dan abdomen di sebuah bangunan di bandar Tolyatti.
Rakan-rakan terdekat mangsa pula mendedahkan, rasa cemburu itu berpunca daripada Malygin yang mengetahui dirinya sudah ada pesaing untuk merebut hati Askarova.
“Saya hilang kawalan. Saya keluarkan pisau. Saya tidak ingat bagaimana dan di mana saya menikamnya.
“Dia ada cuba untuk melarikan diri, namun saya terus menikamnya. Saya menjatuhkan pisau itu di sebuah tempat. Pada mulanya saya tidak sedar apa yang saya lakukan.
“Saya cuma sedar apabila dia rebah... Saya akhirnya sedar ketika saya bergegas balik,” ujar Malygin dalam pengakuannya.
Ketika kejadian, dia memberitahu ibu bapanya bahawa dia mahu ke kedai, namun sebaliknya dia bertemu Malygin.
Oleh kerana dia lewat pulang, keluarganya cuba menelefon, namun nombornya sudah tidak aktif.
Jasad Askarova akhirnya ditemui pada jam 10 malam, 23 Disember, di sebuah bangunan kosong. Pisau yang digunakan untuk menikamnya juga ditemui berdekatan lokasi kejadian.
“Kami hanya berdiri dan bercakap. Saya mahu kami terus bersama. Dia yang mahu memutuskan hubungan. Saya hanya mahu memujuknya...” kata Malygin.
Kes tersebut mendapat liputan luas di Rusia dan buat masa ini, segala prosedur undang-undang sedang diambil dan Malygin menunggu waktu dibicarakan di mahkamah.
Askarova merupakan perenang kuak kupu-kupu yang pernah meraih tempat kedua dalam kejohanan belia Rusia 2017.