Pereka fesyen Pierre Cardin meninggal dunia pada usia 98 tahun

Saraya Mia
Disember 29, 2020 21:32 MYT
Cardin dilahirkan dalam keluarga yang miskin pada tahun 1922 berhampiran Venice, sebelum keluarganya berpindah ke Perancis ketika beliau masih kecil. - Gambar fail/ Reuters
PARIS: Pereka fesyen couture terkemuka dunia, Pierre Cardin meninggal dunia pada usia 98 tahun di Hospital Neuilly, Barat Perancis pada Selasa, umum keluarganya.
“Hari ini merupakan hari yang penuh dukacita buat kami sekeluarga kerana Pierre Cardin sudah tiada,” kata keluarganya dalam satu kenyataan seperti dilaporkan AFP.
Tambah kenyataan itu, Cardin telah meninggalkan legasi sebagai “warisan seni yang unik dan hebat” bukan sahaja dalam dunia fesyen, malah kepada Perancis .
Cardin dilahirkan di Itali, namun memula dan memperkenalkan jenamanya sebagai seorang bintang pereka fesyen di Paris.
“Sebagai anak kelahiran Itali, Pierre Cardin tidak pernah melupakan asal usulnya sambil memperkenalkan cinta tanpa syarat dalam hasil kerjanya di Perancis,” tambah keluarganya.
Cardin dilahirkan dalam keluarga yang miskin pada tahun 1922 berhampiran Venice, sebelum keluarganya berpindah ke Perancis ketika beliau masih kecil.
Antara hasil legasi Cardin termasuk menghasilkan busana bagi filem Disney, Beauty and the Beast 1946 dan koleksi “Space Age” yang sehingga kini menjadi satu penanda aras bagi trend gaun potongan, seluar kulit ketat dan sebagainya.
Pereka fesyen jahitan couture itu adalah yang pertama memulakan jualan busana di pasar raya sekitar 1950-an, selain menjadi yang pertama menjual minyak wangi, aksesori dan makanan, yang kini menjadi sumber pendapatan besar bagi jenama-jenama fesyen seluruh dunia.
“Kami sangat bangga dengan cita-cita tinggi serta pencapaian mendiang selama tempoh kehidupannya,” tambah keluarganya lagi.
#Pierre Cardin #meninggal dunia #pereka fesyen #Itali #Perancis #Pereka fesyen couture #legasi #jenama
;