Pereka fesyen legenda Dame Vivienne Westwood meninggal dunia
Astro Awani
Disember 29, 2022 06:00 MYT
Disember 29, 2022 06:00 MYT
PEREKA fesyen legenda Dame Vivienne Westwood meninggal dunia pada usia 81 tahun.
Menurut satu kenyataan di akaun media sosial rasminya, mendiang meninggal dunia sebentar tadi di Clapham, England dikelilingi ahli keluarganya.
"Vivienne Westwood meninggal dunia hari ini, dengan tenang dan dikelilingi oleh keluarganya, di Clapham, London Selatan.
"Dunia memerlukan insan seperti Vivienne untuk membuat perubahan ke arah yang lebih baik," tweet butik fesyennya.
Suami dan rakan kreatifnya Andreas Kronthaler berkata: "Vivienne akan sentiasa tersemat di hati saya.
"Kami telah bekerja sehingga ke akhir dan dia telah menyediakan segalanya buat saya.
"Terima kasih, sayang," tulis Kronthaler.
Dame Vivienne mencipta kemasyhuran pada era 1970-an apabila membawa fesyen punk ke arus perdana dengan membuka butik di King's Road London bersama pengurus Sex Pistols Malcolm McLaren.
Mendiang kemudian menubuhkan jenama fesyen global dengan rangkaian butik yang kini beroperasi di United Kingdom, Perancis, Itali, Amerika Syarikat dan Asia.
Pereka kelahiran Cheshire juga terkenal kerana berkempen mengenai isu seperti pencemaran dan perubahan iklim, dan menyokong pengasas WikiLeaks Julian Assange.