Pereka fesyen Issey Miyake meninggal dunia akibat kanser

Astro Awani
Ogos 9, 2022 18:08 MYT
Mendiang Issey Miyake meninggal dunia akibat kanser hati pada 5 Ogos lalu pada usia 84 tahun. - Gambar REUTERS
PEREKA fesyen warga Jepun, Issey Miyake yang terkenal dengan rekaan pakaian berlisu, meninggal dunia pada usia 84 tahun.
Menurut agensi berita Kyodo yang memetik kenyataan pejabatnya, mendiang meninggal dunia akibat kanser hati pada 5 Ogos lalu.
Dilahirkan di Hiroshima pada 1938, mendiang Miyake pernah menyaksikan tragedi pengeboman atom di bandar itu ketika berada dalam bilik darjah.
Mendiang terkenal untuk inovasi fesyen yang terkehadapan menggunakan teknologi dan mula mencipta nama di peringkat antarabangsa sekitar 1970-an.
Malah, Miyake juga bertanggungjawab menghasilkan baju turtleneck hitam buat pengasas Apple, Steve Jobs, sekali gus melengkapkan imej ikonik beliau.
Sepanjang hayatnya sebagai pereka fesyen, mendiang Miyake juga masyhur dengan koleksi Pleats Please yang menampilkan gaya pakaian berlisu.
Hasil ciptaannya yang cukup unik dan berinovasi terkenal dalam kalangan peminat fesyen, malah pernah dipamerkan di muzium dan galeri di serata dunia.
#Issey Miyake #kanser #fesyen #Jepun
;