Perdana Menteri UK Boris Johnson berdepan undi tidak percaya malam ini

Agensi
Jun 6, 2022 15:19 MYT
Johnson bakal membentangkan polisi berkaitan kesihatan dan perumahan dalam usaha terakhirnya untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri. - REUTERS
LONDON: Perdana Menteri United Kingdom (UK) Boris Johnson sah bakal menghadapi undi tidak percaya terhadapnya di Parlimen malam ini.
Menurut agensi berita BBC, Pengerusi Jawatankuasa Ahli-ahli Parlimen Konservatif 1922, Sir Graham Brady mengesahkan usul tersebut akan dibentangkan antara pukul 6 petang hingga 8 malam BST (antara 1 hingga 3 pagi waktu Malaysia)
Brady memberitahu wartawan tempatan, usul itu tercetus selepas terdapat permintaan daripada sekurang-kurangnya 54 Ahli Parlimen Tory.
Pejabat No 10 Downing Street berkata, Johnson mengalu-alukan peluang untuk beliau membentangkan kesnya kepada Ahli-Ahli Parlimen UK, dan berkata malam ini merupakan permulaan menoktahkan segala spekulasi, serta masa untuk kerajaan bergerak ke hadapan.
Portal berita The Guardian melaporkan, biarpun peluang untuk menghalang undi itu agak tipis, namun ahli-ahli Parlimen yang berpihak kepada Johnson, akan cuba melakukan yang terbaik untuk menyokongnya.
Johnson dilaporkan bakal membentangkan polisi berkaitan kesihatan dan perumahan dalam usaha terakhirnya untuk mengekalkan jawatan Perdana Menteri.
Usul undi tidak percaya itu dijangka bakal dibentangkan minggu ini, dengan beberapa Ahli Parlimen meramalkan jumlah yang akan menyokongnya melebihi dari jumlah minimum 54 ahli yang diperlukan.
“Apa jua yang terjadi, kami akan kembali untuk mentadbir, menangani isu-isu yang terkait dengan rakyat ketika ini,” kata Menteri Perumahan, Komuniti, dan Kerajaan Tempatan UK Paul Scully seperti dilaporkan The Guardian.
Sumber Kerajaan UK dilaporkan sebagai berkata, Johnson akan menunjukkan kesungguhannya untuk mengekalkan jawatan tersebut, sambil bertegas beliau tidak akan dilemahkan oleh usaha untuk menjatuhkannya.
Perdana Menteri UK itu dijangka akan memenangi undi tidak percaya tersebut dengan jumlah majoriti yang tipis.
Seorang bekas Menteri UK, yang juga merupakan penyokong Johnson dilaporkan sebagai berkata, mereka yang menyokong Perdana Menteri pun melahirkan kepercayaan bahawa Johnson boleh memenangi pilihan raya akan datang dengan agenda yang lebih besar.
“Beliau akan selamat, tetapi (undi tidak percaya) itu sudah pasti akan melemahkannya. Jika beliau berjaya, beliau harus melakukan banyak kerja untuk menangani kerosakan yang terjadi. Mengetahui Boris (Johnson), sudah pasti beliau ada cara untuk melakukannya,” kata bekas Menteri itu lagi.
Johnson perlu mendapatkan sokongan sekurang-kurangnya separuh daripada parti Tory (Parti Konservatif) - yang kini seramai 180 orang – untuk terus berkuasa.
#Boris Johnson #Perdana Menteri #undi tidak percaya #Tory
;