Perdana Menteri Singapura suarakan kebimbangan terhadap hubungan China-AS
Bernama
Mac 30, 2023 19:00 MYT
Mac 30, 2023 19:00 MYT
BEIJING: Hubungan semasa antara Amerika Syarikat dan China membimbangkan negara lain kerana sebarang pertembungan antara kedua-dua pihak itu akan mendatangkan kesan buruk kepada dunia, kata Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong pada Khamis.
"Kuasa besar mempunyai tanggungjawab yang lebih berat untuk mengekalkan hubungan yang stabil dan berkesan antara satu sama lain, kerana sebarang pertikaian antara mereka (AS dan China) akan membawa akibat yang dahsyat terhadap kedua-dua negara dan dunia," Lee berkata demikian pada majlis Forum Boao untuk Asia (BFA) di Hainan.
Perdana menteri itu menyatakan bahawa Washington dan Beijing tidak bersetuju dalam banyak isu yang sukar diselesaikan, termasuk perdagangan dan pelaburan, rantaian bekalan, keselamatan siber, teknologi canggih, dan kebebasan navigasi, lapor Sputnik.
"Kami berharap China dan Amerika Syarikat akan berjaya menstabilkan hubungan mereka dan mewujudkan sikap saling percaya dan hormat agar mereka dapat bekerjasama dalam bidang yang mempunyai kepentingan sejajar," kata Lee.
BFA telah ditubuhkan pada 2001.
Matlamat forum ini adalah untuk membangunkan penyelarasan dan kerjasama antara negara-negara Asia, mempergiatkan dialog dan hubungan ekonomi dengan rantau lain, serta mewujudkan platform dialog mengenai isu-isu ekonomi, sosial dan lain-lain membabitkan pegawai, usahawan, pakar dan saintis.
Forum tahun ini berlangsung dari 28-31 Mac bertemakan "An Uncertain World: Solidarity and Cooperation for Development amid Challenges."
--BERNAMA-SPUTNIK