Perdana Menteri Kanada rombak Kabinet

Bernama
Disember 21, 2024 11:58 MYT
Menurut Trudeau, Kabinet baharu ini akan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting kepada rakyat, termasuk menjadikan kehidupan lebih mampu milik dan merangsang pertumbuhan ekonomi. - Gambar/ Reuters
OTTAWA: Perdana Menteri Kanada Justin Trudeau pada Jumaat mengumumkan rombakan Kabinetnya, lapor Xinhua.
Menurut senarai yang dikeluarkan oleh pejabat perdana menteri, lapan menteri baharu telah dilantik manakala portfolio empat menteri sedia ada diubah.
Dengan rombakan ini, Kabinet kekal terdiri daripada 38 menteri dan terus mengekalkan jumlah yang sama antara lelaki dan wanita, selaras dengan amalan yang dimulakan pada 2015.
Rombakan ini dilakukan beberapa hari selepas bekas timbalan perdana menteri dan menteri kewangan, Chrystia Freeland, meletakkan jawatan.
Sejak Julai lalu, sembilan menteri mengumumkan peletakan jawatan atau tidak akan bertanding semula dalam pilihan raya persekutuan yang akan datang.
Menurut Trudeau dalam satu kenyataan media, Kabinet baharu ini akan memberi tumpuan kepada perkara yang paling penting kepada rakyat, termasuk menjadikan kehidupan lebih mampu milik dan merangsang pertumbuhan ekonomi.
Pasukan baharu ini juga akan terus memberi tumpuan mengenai isu perumahan, penjagaan kanak-kanak, dan program makanan sekolah sambil berusaha menambah pendapatan rakyat, kata perdana menteri.
Ketua Parti Demokratik Baharu Jagmeet Singh pada Jumaat menyiarkan surat terbuka kepada rakyat Kanada di media sosial, mengumumkan bahawa partinya akan mengemukakan usul tidak percaya untuk menggulingkan kerajaan Trudeau pada persidangan Dewan Rakyat yang dijadualkan bermula 27 Jan.
-- BERNAMA
#perdana menteri kanada #Justin Trudeau #rombakan kabinet #Kanada
;