Perdana Menteri India minta PBB tangani keganasan
Bernama
Mac 31, 2016 22:39 MYT
Mac 31, 2016 22:39 MYT
Susulan serangan keganasan di sini minggu lepas, Perdana Menteri India Narendra Modi berkata keadaan itu secara tidak langsung memperlihatkan bahaya yang diwujudkan pengganas terhadap dunia.
Modi berkata Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) perlu tangani cabaran utama itu dan jika gagal boleh membuatkan badan dunia berkenaan dilihat tidak relevan, lapor agensi berita India, Press Trust of India (PTI).
Berucap kepada rakyat India di sini, beliau kesal PBB masih belum berupaya menjelaskan berhubung masalah keganasan serta akta mengatasi masalah itu agar dapat menetapkan tindakan boleh diambil terhadap negara menyokong atau memberi perlindungan kepada pengganas.
Menurutnya keganasan langsung tiada kaitan dengan agama dan ia menjadi ancaman terhadap kemanusiaan dan mereka yang mempercayai kemanusiaan perlu bersatu menanganinya.
Keganasan katanya tidak boleh ditewaskan hanya dengan senjata, tetapi persekitaran diwujudkan masyarakat dengan memastikan generasi muda tidak terlibat kegiatan ekstrem.
"Dunia pernah dikejutkan dengan insiden 11 September. Sejak itu negara kuasa besar dunia tidak memahami apa dilalui India. Tetapi negara itu tidak pernah tunduk dengan keganasan dan mengapa perlu tunduk kepada mereka," kata Perdana Menteri itu.
Modi berkata pemimpin dunia perlu berada di hadapan dalam usaha mengekang keganasan, kegagalan dalam perkara itu akan mengundang lebih banyak kemusnahan.
Pada majlis itu Modi dan tetamu lain turut bertafakur seminit bagi memperingati mangsa yang terkorban dalam serangan bom di Brussels.
Beliau turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan waris mangsa terlibat.