Perdana Menteri hadir Persidangan Kerajaan Dunia 2022 di Dubai

Bernama
Mac 30, 2022 00:41 MYT
Persidangan terbesar selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan ketua-ketua negara, serta pakar-pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia. - Gambar/ FB Ismail Sabri Yaakob
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menghadiri Persidangan Kerajaan Dunia 2022 yang berlangsung di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), bersempena Ekspo 2020 Dubai, petang ini (waktu tempatan).
Ismail Sabri menerusi perkongsian di laman Facebook beliau berkata persidangan yang mengangkat tema "Shaping Future Governments" atau Membentuk Kerajaan Masa Hadapan turut dihadiri Perdana Menteri UAE Sheikh Mohammed Rashid Al Maktoum yang juga Pemerintah Dubai.
Beliau berkata persidangan terbesar selama dua hari yang bermula semalam menghimpunkan ketua-ketua negara, serta pakar-pakar pelbagai bidang dari seluruh dunia.
Ia turut mengetengahkan pelbagai isu termasuk isu-isu global, ekonomi dan pentadbiran menerusi lebih 100 sesi yang diadakan.
"Menerusi persidangan tersebut, ketua-ketua dunia dapat membincangkan kerjasama masa hadapan bagi mendepani cabaran luar jangka seperti pandemik COVID-19," katanya yang turut berkongsi gambar menghadiri persidangan itu.
Perdana Menteri singgah di Dubai pada Selasa selepas lawatan rasmi tiga hari ke Qatar sejak Sabtu lepas.
-- BERNAMA
#ismail sabri yaakob #Persidangan Kerajaan Dunia 2022 #Dubai #Ekspo 2020 Dubai
;