Perdana Menteri baru India dijangka umum Kabinet lebih kecil

Astro Awani
Mei 26, 2014 21:32 MYT
Perdana Menteri baru India, Narendra Modi dijangka umum Kabinet lebih kecil. - AFP PHOTO/DOORDARSHAN
Perdana Menteri baru India, Narendra Modi dijangka memansuhkan 26 jawatan kerajaan di dalam kabinet barunya, dalam usaha melicinkan proses membuat keputusan.
Menurut laporan AFP yang memetik agensi berita Press Trust of India dan saluran televisyen NDTV, bilangan anggota Kabinet yang akan diumumkan adalah 45 berbanding 71 pada era pentadbiran gabungan diketuai Parti Kongres di bawah pimpinan bekas Perdana Menteri, Manmohan Singh.
Parti pimpinan Modi, Parti Bharatiya Janata (BJP) menang majoriti buat pertama kalinya dalam pilihan raya umum dalam tempoh 30 tahun awal bulan ini.
Pemimpin wanita paling senior BJP Sushma Swaraj diwar-warkan bakal dilantik sebagai menteri luar manakala sekutu Modi, Arun Jaitley yang merupakan seorang peguam dilihat sebagai pilihan utama menerajui portfolio kewangan.
Modi pula dikatakan bakal melantik dirinya sendiri sebagai Menteri Pertahanan di bawah rombakan Kabinet di mana pasukannya dijangka mendapat 23 jawatan penuh Kabinet.
Perdana menteri berusia 63 tahun itu selamat mengangkat sumpah sebagai perdana menteri hari ini di dalam satu upacara di New Delhi yang dihadiri pemimpin seluruh negara tersebut.
Beliau berjanji untuk membentuk India menjadi sebuah negara yang kuat dan menyeluruh.
#India #Kabinet India #Narendra Modi #Perdana Menteri
;