Perdana Menteri Bahrain meninggal dunia pada usia 84 tahun

Agensi
November 11, 2020 19:58 MYT
Sheikh Khalifa merupakan antara individu paling lama menjawat jawatan sebagai perdana menteri. -Gambar/ Reuters
PERDANA Menteri Bahrain, Sheikh Khalifa Salman Al Khalifa, 84, meninggal dunia pada Rabu ketika menerima rawatan di Hospital Mayo Clinic, Amerika Syarikat (AS).
Agensi Berita Kebangsaan Bahrain melaporkan, Sheikh Khalifa yang merupakan antara individu paling lama menjawat jawatan sebagai perdana menteri di dunia meninggal dunia pada waktu pagi.
Bagaimanapun, waktu yang tepat serta punca kematian beliau belum diumumkan.
Susulan pemergian pemimpin veteran yang mula menjadi perdana menteri sejak 1971 itu, Raja Bahrain, Sheikh Hamad Isa Al Khalifa mengumumkan tempoh berkabung selama seminggu di negara itu dengan bendera dikibar separuh tiang.
Upacara pengebumian dijangka diadakan selepas jenazahnya dibawa pulang. Bilangan tetamu yang ingin memberi penghormatan terakhir juga akan dihadkan.
Sheikh Khalifa Salman pernah diminta meletak jawatan atas dakwaan penyelewengan pada tahun 2011, namun berjaya mengekalkan jawatannya.
#Perdana Menteri #Sheikh Khalifa Salman Al Khalifa #Bahrain #meninggal dunia #AS #Amerika Syarikat #Agensi Berita Kebangsaan Bahrain #Raja Bahrain #Sheikh Hamad Isa Al Khalifa
;