Perdana Menteri baharu Perancis hasrat kaji semula skim pencen

Bernama
September 7, 2024 17:49 MYT
Barnier merancang untuk membangkitkan isu ini di hadapan kedua-dua dewan parlimen dalam beberapa minggu akan datang. - Foto Reuters
MOSCOW: Perdana Menteri baharu Perancis Michel Barnier mengumumkan hasratnya untuk meneruskan perbincangan mengenai pembaharuan skim pencen yang kontroversi, lapor Sputnik.
Protes besar-besaran terhadap pembaharuan skim pencen berlangsung di Perancis dari Januari hingga Jun 2023, dengan penglibatan lebih sejuta peserta di seluruh negara.
Namun, pada September undang-undang mengenai peningkatan umur persaraan secara berperingkat dari 62 kepada 64 tahun telah dikuat kuasa.
"Saya akan membuka perbahasan untuk menambah baik undang-undang ini bagi golongan yang paling terjejas," kata Barnier kepada penyiar TF1 pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau enggan mengesahkan sama ada peruntukan mengenai peningkatan umur persaraan secara beransur-ansur yang digariskan dalam pembaharuan itu akan dikaji semula, dengan menyatakan bahawa beliau mahu bertindak selaras dengan bajet negara.
Barnier merancang untuk membangkitkan isu ini di hadapan kedua-dua dewan parlimen dalam beberapa minggu akan datang, menurut laporan itu.
Selain itu, perdana menteri turut menggariskan keutamaan kerajaan, seperti mengawal aliran migrasi melalui langkah-langkah tertentu, memperbaiki perkhidmatan awam dan menghalang pertumbuhan hutang negara Perancis.
-- BERNAMA
#Perdana Menteri Perancis #Michel Barnier #pembaharuan skim pencen #kaji semula
;