Perdana Menteri baharu Lubnan bentuk kerajaan yang lama dinanti
Bernama
Februari 8, 2025 06:40 MYT
Februari 8, 2025 06:40 MYT
Kabinet itu tidak melibatkan anggota daripada Hezbollah atau sekutunya, Parti Gerakan Amal. - Foto fail/REUTERS
BEIRUT: Perdana Menteri Lubnan yang dilantik, Nawaf Salam mengumumkan pembentukan kerajaan baharu di Beirut pada Sabtu, dengan menekankan komitmen terhadap reformasi dan pemulihan ekonomi negara yang tenat, lapor agensi berita Jerman dpa.
Ketua Setiausaha kerajaan Mahmoud Maakiyeh mengumumkan barisan Kabinet yang terdiri daripada 24 anggota, kebanyakannya pakar dan teknokrat.
Kabinet itu tidak melibatkan anggota daripada Hezbollah atau sekutunya, Parti Gerakan Amal.
"Reformasi adalah satu-satunya jalan untuk menyelamatkan negara," kata Salam selepas pengumuman kerajaan baharu.
Beliau turut menegaskan bahawa usaha pembinaan semula di selatan Lubnan, yang mengalami kerosakan teruk akibat konflik antara Israel dan Hezbollah baru-baru ini, "bukan sekadar janji tetapi satu komitmen daripada kami."
Kerajaannya juga akan berusaha "memulihkan keyakinan" antara Lubnan dan rakyatnya, negara-negara jiran Arab serta masyarakat antarabangsa.
Kerajaan baharu ini dibahagikan sama rata antara mazhab Kristian dan Islam serta termasuk lima wanita.
Mesyuarat pertama Kabinet dijadualkan pada Selasa.
Lubnan sebelum ini diperintah oleh kerajaan sementara yang diketuai Najib Mikati selama lebih dua tahun.
Salam, bekas Duta ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Ketua Hakim di Mahkamah Keadilan Antarabangsa, dinamakan sebagai perdana menteri yang dilantik pada Januari.
Pelantikannya dibuat oleh Presiden Lubnan Joseph Aoun, yang dipilih pada 9 Januari selepas kekosongan jawatan presiden selama dua tahun.
Pemilihan Aoun, yang disokong Amerika Syarikat dan Arab Saudi mencerminkan perubahan keseimbangan kuasa di Beirut.
Lubnan sebelum ini dikuasai Hezbollah dan sekutunya, Presiden Syria Bashar al-Assad, yang digulingkan pada Disember.
-- BERNAMA