Perdamaian Iran-Arab Saudi penentu kestabilan di Laut Merah - Penganalisis

Irfan Faruqi
Disember 27, 2023 05:30 MYT
Perjanjian perdamaian antara Iran dan Arab Saudi sepatutnya dimeterai sebelum berakhirnya tahun 2023, berdasarkan garis masa yang ditetapkan oleh China.
KUALA LUMPUR: Perdamaian antara Iran dan Arab Saudi yang dipelopori oleh China akan menentukan kestabilan geopolitik di rantau Laut Merah.
Profesor Jabatan Hubungan Antarabangsa, Keselamatan dan Undang-undang, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof Mizan Mohammad Aslam berkata perjanjian perdamaian itu sepatutnya dimeterai sebelum berakhirnya tahun 2023, berdasarkan garis masa yang ditetapkan oleh China.
“Ketika ini kita dapati sudah ada bibit-bibit perdamaian yang diusahakan oleh China yang cuba menyatukan Arab Saudi dan Iran.
“Diberikan empat bulan yang sepatutnya berakhir pada Disember 2023 ini untuk kedua-duanya memeterai satu perjanjian baharu yang akan menamatkan krisis Iran-Arab Saudi.
“Kesan dominonya ialah kepada pertembungan antara Houthi dan tentera Yaman yang didanai oleh Arab Saudi. Tetapi jika perdamaian ini gagal, maka ia akan bawa malapetaka lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam program Agenda AWANI pada Rabu.
Perdamaian Iran-Arab Saudi penentu kestabilan di Laut Merah - Penganalisis
Menurut Mizan, Amerika Syarikat tidak akan mampu memastikan operasi ketenteraan yang dinamakan Operation Prosperity Guardian berjalan lancar tanpa sokongan negara-negara Arab yang berada di sepanjang Laut Merah.
“Kalau kita lihat dengan lebih teliti sememangnya Amerika Syarikat dan sekutunya yang berada di Laut Merah, termasuk Arab Saudi, Eritrea, Sudan dan lain-lain yang boleh beri sokongan padu kepada Amerika.
“Dan Houthi yang didukung oleh Iran berkemungkinan besar boleh mendapat sokongan daripada Presiden Rusia, Vladimir Putin. Jika itu berlaku dan keadaan menjadi lebih mendesak, pastinya konflik yang lebih besar yang mana Yaman akan menjadi proksi,” jelasnya.
Mizan berkata, sekiranya Arab Saudi dan Yaman berdamai, maka Amerika Syarikat akan kehilangan lebih banyak sokongan dan pada masa yang sama operasi puak Houthi yang dijalankan sebagai tanda sokongan kepada Palestin akan diteruskan tanpa ada halangan.
Agenda AWANI: ANDALAN 2024: Geopolitik dunia stabil atau makin meruncing?
#Amerika Syarikat #Arab Saudi #China #Palestin #Laut Merah
;