Perdagangan sempadan Malaysia-Thailand bagi Jan-Ogos susut 21 peratus

Bernama
Oktober 8, 2020 23:20 MYT
Perdagangan sempadan di antara Malaysia dengan Thailand susut 21 peratus kepada RM20.22 bilion bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini. -Bernama
BANGKOK: Perdagangan sempadan di antara Malaysia dengan Thailand susut 21 peratus kepada 152 bilion baht (RM20.22 bilion) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini berikutan kesan pandemik COVID-19.
Ketua Pengarah Jabatan Perdagangan Luar Negara Thailand, Keerati Rushchano berkata nilai perdagangan rentas sempadan Thailand dengan negara jiran -- Malaysia, Myanmar, Laos, dan Kemboja -- mencecah 497 bilion baht (100 baht = RM13.3), turun 11.5 peratus tahun ke tahun dalam tempoh lapan bulan pertama itu.
Eksport ke empat negara tersebut bernilai 293 bilion baht, susut 9.63 peratus manakala import pula bernilai 204 bilion baht, merosot 14 peratus, menjadikan lebihan perdagangan sebanyak 89 bilion baht, katanya dalam kenyataan hari ini.
"Eksport ke Malaysia berkurangan 15.43 peratus kepada 73.76 bilion baht, sementara import turun 25.53 peratus kepada 78.22 bilion baht. Ini menjadikan lebihan dagangan berjumlah 4.46 bilion baht, " katanya.
Dalam keadaan pandemik COVID-19, Thailand hanya membuka kembali 36 daripada 97 pusat pemeriksaan sempadan untuk perdagangan dan pengangkutan barang, termasuk enam pusat pemeriksaan sempadan dengan Malaysia.
Keerati berkata perdagangan rentas sempadan Thailand termasuk perdagangan transit mencatatkan nilai 853 bilion baht, susut 7.42 peratus tahun ke tahun bagi tempoh lapan bulan pertama 2020.
Beliau berkata nilai eksport Thailand berada pada 494 bilion baht, menguncup 7.37 peratus tahun ke tahun bagi Januari hingga Ogos 2020, sementara nilai import turun 7.49 peratus kepada 358 bilion baht sekali gus merekodkan lebihan perdagangan sebanyak 136 bilion baht.
Perdagangan transit Thailand secara keseluruhan dengan Singapura, Vietnam dan Selatan China mencapai 354.5 bilion baht, susut 1.05 peratus bagi tempoh yang sama.
Nilai perdagangan transit dengan Vietnam turun 20.6 peratus kepada 39.7 bilion baht.
Bagaimanapun, perdagangan transit dengan Selatan China dan Singapura bagi tempoh yang sama masing-masing meningkat 13.6 peratus dan 12 peratus kepada 153 bilion baht dan 56.8 bilion baht.
-- BERNAMA
#sempadan thailand #pandemik #koronavirus #Perdagangan sempadan #COVID-19 #Keerati Rushchano
;