Perdagangan luar China lepasi RMB20 trilion
Bernama
Julai 14, 2023 22:35 MYT
Julai 14, 2023 22:35 MYT
BEIJING: Perdagangan luar China mencatat prestasi bersejarah pada separuh pertama tahun ini apabila buat kali pertama melepasi paras 20 trilion yuan (RM12.68 trilion) berbanding tempoh sama tahun-tahun sebelumnya.
Jabatan Pentadbiran Am Kastam China (GACC) menyifatkan prestasi itu selaras dengan jangkaan selepas meraih pertumbuhan sebanyak 2.1 peratus.
Mengikut data terkini GACC, import melonjak 3.7 peratus kepada 11.46 trilion yuan (RM7.27 trilion), manakala eksport susut sebanyak 0.1 peratus kepada 8.64 trilion yuan (RM5.48 trilion) bagi tempoh Januari hingga Jun.
Jurucakap GACC, Lyu Daliang, berkata pertumbuhan dagangan luar China dipacu oleh faktor kerancakan aktiviti import dan eksport sektor swasta, serta kenaikan eksport produk mekanikal dan elektrik.
"Antaranya, peralatan elektrik, kenderaan dan alat gantinya serta perkakasan mesin bagi pasaran eksport mencatatkan peningkatan ketara, manakala import komoditi pukal dan barangan pengguna pula turut berkembang pesat," kata beliau.
Dalam pada itu, import dan eksport China-ASEAN dan China dengan anggota lain Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) masing-masing naik 5.4 peratus dan 1.5 peratus.
Lyu berpendapat bahawa perdagangan luar China meneruskan momentum kukuh berikutan faktor saiznya serta situasi ekonomi global.
Beliau turut melahirkan keyakinan penuh terhadap trend dagangan luar bagi tempoh separuh kedua tahun ini.
"Daya tahan ekonomi negara (China) terus tinggi, dengan potensi pertumbuhan besar serta momentumnya dalam jangka panjang tidak akan berubah.
"Ditambah lagi dengan wujudnya pelbagai insentif, kami berkeyakinan tinggi untuk mencapai matlamat import dan eksport terus mencatatkan prestasi mantap," kata beliau.
-- BERNAMA