Percutian bertukar mimpi ngeri apabila rumah sewa miliki makmal ganja

Syafique Shuib
Januari 8, 2016 16:54 MYT
Satu keluarga terkejut apabila pintu utama rumah percutian yang disewa ditendang pihak polis dan kemudian disoal siasat kerana makmal ganja.
SATU keluarga di Australia terkejut apabila rumah yang disewa menerusi laman web penyedia perkhidmatan sewaan rumah jangka pendek Airbnb diserbu oleh polis kerana memiliki makmal ganja.
Menurut laporan The Daily Telegraph, keluarga yang berasal dari Sydney itu menyewa sebuah rumah tiga bilik di Gold Coast untuk sambutan Krismas.
Sewaktu serbuan dibuat, polis telah menendang pintu utama dan mengarahkan Dieter Winkler, pasangannya Jacquie Young dan lima anak mereka untuk duduk di ruang tamu untuk disoal siasat.
“Polis tidak tahu kami tidak bersalah, jadi mereka tidak begitu ramah," jelas Winkler.
Ketika polis menggeledah rumah itu, mereka menjumpai sebuah ruang khas untuk pemprosesan ganja.
Sebelum ini, keluarga ini pernah diberi amaran oleh pemilik rumah untuk tidak ke ruang berkenaan atas masalah elektrik.
Winkler membayar $1,800 (RM5,560.08) untuk menyewa rumah itu selama 11 hari. Gara-gara kejadian itu, Winkler sekeluarga terpaksa berpindah ke rumah sewa berlainan dan membelanjakan sebanyak $2,600 (RM8,031.22) untuk kediaman itu.
Pihak Airbnb telah membayar Wrinkler sebanyak $4400 (RM13,591.30) sebagai wang pampasan.
Seorang jurucakap Airbnb ketika ditemuramah The Daily Telegraph, berkata bahawa kejadian sebegini tidak sering berlaku namun tetap dipandang serius.
#Airbnb #Gold Coast #makmal ganja #Sydney
;