Perbicaraan wartawan AS Evan Gershkovich di Rusia masuk fasa akhir

Bernama
Julai 19, 2024 16:48 MYT
Gershkovich ditangkap pada Mac 2023 dan dituduh mengumpul maklumat mengenai kilang peralatan pertahanan Uralvagonzavod di Nizhny Tagil. - AP
MOSCOW: Perbicaraan tuduhan pengintipan terhadap Evan Gershkovich, wartawan Wall Street Journal yang dipenjarakan di Rusia, memasuki fasa akhir pada Jumaat apabila mahkamah mula mendengar hujah penutup, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Pendakwaan berpendapat bahawa tuduhan yang dibuat semasa prosiding tertutup, yang dijalankan di Yekaterinburg pada 26 Jun, telah terbukti tanpa keraguan.
Media Rusia melaporkan Gershkovich, 32, berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan. Dia dan majikannya menafikan tuduhan itu.
Pejuang kebebasan akhbar, media di seluruh dunia dan kerajaan Amerika Syarikat (AS) turut mengutuk pendakwaan Rusia terhadap Gershkovich sebagai palsu dan menuntut pembebasannya.
Tidak jelas bila keputusan akan diumumkan, tetapi pemerhati mahkamah berkata keputusan bersalah - yang dianggap pasti - dan hukuman mungkin seawal Jumaat.
Seorang jurucakap mahkamah berkata pada Khamis, yang merupakan hari kedua perbicaraan, bahawa pembentangan keterangan pendakwaan dan keterangan saksi telah dijalankan dan dimuktamadkan.
Gershkovich ditangkap pada Mac 2023. Dia dituduh mengumpul maklumat mengenai kilang peralatan pertahanan Uralvagonzavod di Nizhny Tagil, yang terletak 130 kilometer ke utara Yekaterinburg, bagi pihak Agensi Perisikan Pusat AS (CIA).
Ketua Pengarang Wall Street Journal, Emma Tucker mengeluarkan kenyataan pada permulaan perbicaraan, menyifatkan prosiding di bandar Pergunungan Ural itu sebagai "memalukan dan tidak sah."
Seperti ramai wartawan Barat, Gershkovich bekerja dan melakukan penyelidikan di Rusia dengan akreditasi dari Kementerian Luar di Moscow.
Kremlin baru-baru ini berkata rundingan sedang dijalankan mengenai pertukaran tahanan Rusia yang ditahan di AS untuk kebebasan Gershkovich. Penahanan warga AS di Rusia sering membawa kepada rundingan yang rumit antara Moscow dan Washington.
-- BERNAMA
#Evan Gershkovich #Wall Street Journal #perbicaraan #wartawan #pengintipan
;