Perbicaraan MH17: Barisan hakim mulakan pembentangan bukti pendakwaan terhadap tertuduh
Agensi
Jun 8, 2021 15:34 MYT
Jun 8, 2021 15:34 MYT
AMSTERDAM: Barisan hakim di Belanda pada Isnin mula membentangkan bukti-bukti yang dikemukakan dalam perbicaraan kes bunuh yang dihadapi oleh empat tertuduh yang didakwa menembak jatuh pesawat Malaysia Airlines, MH17 di ruang udara ke timur Ukraine pada 2014.
Insiden mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal termasuk warga Malaysia.
Turut hadir sekumpulan anggota keluarga mangsa yang hadir di mahkamah bagi mengikuti sidang minggu ini.
Perbicaraan secara rasmi bermula Mac 2020 tetapi hanya pada peringkat hujahan membabitkan penerimaan bukti berkaitan nahas.
Ketua panel hakim, Hendrik Steenhuis, memaklumkan kepada mahkamah bahawa sehingga kini tiada seorang pun tampil mengaku bertanggungjawab walau sedikit pun terhadap nahas udara MH17 itu.
Minggu ini, kata Steenhuis, panel hakim mahkamah akan meneliti bukti keterangan mengenai tiga persoalan penting.
Ini termasuk sama ada pesawat MH17 ditembak jatuh oleh peluru berpandu buatan Rusia, lokasi pelancaran peluru berpandu itu dan peranan empat tertuduh dalam nahas udara berkenaan.
Tertuduh ialah bekas kolonel Perkhidmatan Keselamatan Persekutuan Rusia (FSB), Igor Girkin; bekas pegawai agensi perisikan tentera Rusia (GRU), Sergey Dubinskiy dan bekas pegawai tentera Spetznaz-GRU, Oleg Pulatov; serta seorang warga Ukraine, Leonid Kharchenko.
Semua tertuduh didakwa dengan kesalahan membunuh dan dengan sengaja serta tidak sah memusnahkan pesawat MH17 yang menyebabkan kematian 298 penumpang.
Sabit kesalahan mereka boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak melebihi 30 tahun penjara tanpa parol atau pembebasan awal.
#MH17
#Malaysia Airlines
#Rusia
#bunuh
#pesawat
#Belanda
#Ukraine
#Malaysia
#perbicaraan
#didakwa membunuh