Peratusan keyakinan rakyat terhadap sistem politik AS semakin rendah - tinjauan

Bernama
Oktober 30, 2017 07:53 MYT
Lebih 70 peratus pula mendapati politik Amerika Syarikat "mencapai titik yang sangat rendah" dengan separuh daripada responden percaya keadaan itu hanya sementara, manakala sebahagian lagi mengatakan ia akan kekal. - Gambar hiasan
Lebih satu pertiga rakyat Amerika Syarikat (AS) didapati "tidak berbangga" dengan amalan demokrasi di negara itu, sekaligus menjadi rekod tertinggi sejak beberapa dekad kebelakangan ini, lapor agensi berita China Xinhua.
Menurut satu tinjauan Washington Post-University baru-baru ini, warga AS tidak berpuas hati berkaitan amalan politik wang yang dilihat sebagai "akar umbi segala kejahatan".
Tinjauan mendapati, 36 peratus responden dalam kalangan pengikut Demokrat adalah lebih kecewa berbanding pengikut parti Republik atau bebas.
Data diperolehi sangat berbeza berbanding yang dikumpulkan sejak 1996, apabila peratusan penduduk yang mengatakan mereka "tidak berbangga", adalah sebanyak 20 peratus dalam empat tinjauan sama dilakukan sebelum ini.
Lebih 70 peratus pula, mendapati politik negara telah "mencapai titik yang sangat rendah," dengan separuh daripada responden percaya keadaan itu hanya sementara, manakala sebahagian lagi mengatakan ia akan kekal.
Selain itu, sebanyak 96 peratus percaya "politik wang" menjadi faktor yang merosakkan politik dan 94 peratus lagi disebabkan "penderma politik".
-- BERNAMA
#Amerika Syarikat #demokrasi #politik #politik wang #rakyat #Washington #Washington Post-University