Peraturan EU yang lebih ketat mengenai eksport sisa kepada bukan negara EU berkuat kuasa Isnin

Bernama
Mei 19, 2024 23:37 MYT
Perangkaan daripada Pejabat Data Eurostat untuk tahun 2022, yang paling terkini, menunjukkan bahawa kebanyakan sisa EU dihantar ke Turkiye. - Gambar fail/Reuters
BRUSSELS: Peraturan yang lebih ketat mengenai eksport sisa dari Kesatuan Eropah (EU) ke negara bukan EU akan berkuat kuasa pada Isnin, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Matlamatnya adalah untuk memastikan EU lebih bertanggungjawab terhadap sisa mereka, umum Suruhanjaya Eropah. Sejak tahun 2004, eksport sisa dari EU ke negara bukan EU telah meningkat sebanyak 72 peratus. Tahun lepas, jumlahnya adalah sebanyak 35 juta tan.
Bermula pada Mei 2027, sisa hanya akan dieksport ke negara-negara di luar Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD) jika negara destinasi secara eksplisit bersetuju dan dapat membuktikan bahawa sisa berkenaan telah diproses secara mampan.
Mulai November 2026, eksport sisa plastik ke negara bukan OECD juga akan diharamkan selama dua setengah tahun. Kebanyakan negara EU adalah ahli OECD yang mempunyai 38 anggota, termasuk Amerika Syarikat, Turkiye, dan Mexico.
Peraturan baharu ini juga bertujuan untuk membantu memerangi perdagangan sisa haram, contohnya melalui lebih banyak sekatan yang menyasarkan penjenayah sebagai pencegahan.
Menurut suruhanjaya itu, peraturan ini melengkapi arahan baharu mengenai jenayah alam sekitar, yang juga berkuat kuasa pada hari Isnin. Ini termasuk senarai kesalahan yang paling serius terhadap peraturan alam sekitar dan memerlukan negara anggota memastikan bahawa jenayah ini dianggap sebagai kesalahan jenayah di bawah undang-undang negara mereka.
Contoh kategori kesalahan yang baru diperkenalkan termasuk pelanggaran serius terhadap peraturan mengenai bahan kimia atau pengambilan air secara haram.
Perangkaan daripada Pejabat Data Eurostat untuk tahun 2022, yang paling terkini, menunjukkan bahawa kebanyakan sisa EU dihantar ke Turkiye, dengan 12.4 juta tan, diikuti oleh India dengan 3.5 juta tan dan United Kingdom dengan dua juta tan.
--BERNAMA-dpa
#Kesatuan Eropah #kesalahan jenayah #eksport sisa #OECD
;