Perang virus korona, UK dan Perancis jamin gaji pekerja
Razak Chik
Mac 22, 2020 23:52 MYT
Mac 22, 2020 23:52 MYT
PEKERJA United Kingdom yang hilang punca pencarian bakal terima 'gaji' sehingga RM12,800 (2,500 Pound Sterling) setiap bulan selagi krisis COVID-19 berterusan.
Kerajaan Perancis pula akan menjamin 30 peratus bayaran gaji pekerja yang terpaksa bercuti sementara sementara majikan membayar baki 70 peratus.
Pekerja sendiri dan peniaga mikro Perancis pula akan menerima pampasan RM7,000 (1,500 euro).
Tindakan UK dan Perancis melibatkan peruntukan kewangan tinggi tetapi ia perlu bagi membendung kemelesetan ekonomi akibat pandemik COVID-19.
Menteri Kewangan (Chancellor of the Exchequer) UK Rishi Sunak memperuntukkan RM52 bilion (10 bilion Pound Sterling) bersama skim pinjaman berjumlah RM1.6 trilion (330 bilion Pound Sterling) hanya untuk menampung bayaran gaji yang tergendala akibat perintah penutupan sementara.
Perancis pula bakal membelanjakan RM212 trilion (45 bilion Euro) untuk pelbagai peruntukan merangsang ekonomi.
Menurut Sunak, buat pertama kali, kerajaan UK mengambil peranan membayar gaji pekerja. Lebih dari itu, Sunak menyebut kerajaan akan membuat 'apa sahaja' (whatever it takes) untuk membendung penguncupan ekonomi yang pasti berlaku akibat pandemik COVID-19.
Tindakan ini tidak selari dengan haluan politik parti Konservatif yang baharu memenangi pilihanraya UK baru-baru ini. Namun pandemik COVID-19 ini menyebabkan segala perkiraan politik dan polemik ekonomi diketepikan demi mengukuhkan ekonomi UK.
Sementara itu, kerajaan Perancis berjanji membantu peniaga kecil (small business owners) dan mereka yang bekerja sendiri sekiranya pendapatan mereka terjejas.
Perancis mula menjalani kurungan terhad bermula 17 Mac untuk 15 hari. Akibatnya, kerajaan turut memberi amaran akan mengalami kemelesetan ekonomi tahun ini.
Presiden Emmanuel Macron sudah menjanjikan pakej bantuan berjumlah 45 bilion Euro khusus untuk membantu warga peniaga berserta para pekerja.
Para pekerja yang terpaksa berkurung secara terhad berhak menuntut hak hilang kerja terhad (partial unemployment benefit) disamping masih dibayar gaji penuh oleh majikan. Majikan juga diwajib menjamin pekerja terlibat akan pulang ke pekerjaan asal apabila keadaan pulih.
Kalangan 600,000 warga pengusaha mikro berpendapatan hingga 1juta Euro setahun layak menerima pampasan lebih RM7,000 (1,500 Euro) sepanjang jangka masa perintah berkurung terhad berkuat kuasa.
Ini tertakluk kepada syarat perniagaan terbabit di arah tutup terutama yang melibatkan bidang pelancongan dan restoran.
Menteri ekonomi Perancis Bruno Le Maire hanya perlu membuat pengakuan (simple declaration) untuk menerima bantuan dana ini. Bayaran akan dibuat apabila individu terbabit membuat pengakuan percukaian dalam talian bermula Mac 31.
Peniaga dan yang berkerja sendiri juga diberi kelonggaran menggantung pembayaran sewa premis, gas dan elektrik.
Kerajaan juga memanjang jangka masa tradisi kelonggaran undang undang musim sejuk (winter truce) yang menghalang tuan rumah (landlord) menghalau keluar penyewa yang gagal membayar sewa pada bulan bulan paling sejuk, ditambah dua bulan selepas Mar 31.
Namun, kalangan mereka yang berkerja sendiri dan peniaga kecil lebih terasa beban penutupan sementara berbanding mereka yang bergaji tetap.