Perang tidak selesaikan masalah, kata Narendra Modi kepada Vladimir Putin

Agensi
Julai 9, 2024 23:15 MYT
Narendra Modi (kiri) berjabat tangan dengan Vladimir Putin semasa Perdana Menteri India itu bertemu dengan Presiden Rusia di Moscow, pada Selasa. - Gambar REUTERS
MOSCOW: Perdana Menteri India, Narendra Modi memberitahu Presiden Rusia, Vladimir Putin perdamaian merupakan hal "paling penting" serta penyelesaian kepada peperangan yang berlanjutan di Ukraine.
Perdamaian juga, tegas Modi, "tidak dapat ditemui di medan perang."
"Penyelesaian tidak boleh dicapai di medan perang. Di tengah-tengah senjata, peluru dan bom, rundingan damai tidak boleh berjaya. Kita harus mencari jalan untuk damai hanya melalui perbincangan," katanya sambil menggesa perang Ukraine dihentikan melalui dialog.
Modi yang berada di Moscow pada Selasa bagi lawatan kerja dan mengadakan pertemuan dengan Putin untuk memajukan hubungan dua hala dengan tumpuan kepada tenaga serta perdagangan.
Perbincangan mereka turut merangkumi isu Ukraine, dengan Modi menegaskan kepada Putin bahawa penyelesaian aman terhadap konflik itu harus dicari.
Dalam kenyataannya semasa pertemuan dengan Putin sebelum perbincangan peringkat delegasi Modi menyebut tentang "kesakitan" akibat perang.
"Sama ada perang, konflik atau serangan pengganas, mana-mana individu yang mempercayai kemanusiaan, akan merasa sakit apabila nyawa terkorban.
"Tetapi lebih daripada itu, apabila kanak-kanak yang tidak bersalah terbunuh, hati terasa pilu dan kesakitan itu sangat menggerunkan," tegas Modi lagi.
Terperangkap antara sejarah hubungan rapatnya dengan Rusia dan hubungan yang semakin berkembang dengan blok Barat yang dipimpin oleh Amerika Syarikat, India menghadapi cabaran dalam mengutamakan kepentingan ekonomi, ketenteraan dan geopolitiknya.
Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky dalam satu hantaran di media sosial pada Isnin mengkritik Modi kerana memeluk Putin.
Dalam masa sama, Modi berterima kasih kepada Rusia kerana membantu India dalam tempoh lima tahun lepas, yang beliau gambarkan sebagai "mencemaskan dan mencabar untuk dunia" disebabkan krisis COVID-19 diikuti konflik dan ketegangan di pelbagai wilayah.
"Ketika dunia menghadapi krisis keterjaminan makanan, bahan api dan baja, persahabatan dan kerjasama kita membantu kita dalam mencegah kesukaran seperti itu untuk petani India," kata Perdana Menteri India itu.
Presiden Rusia memberitahu Modi bahawa "hubungan kita mempunyai sifat perkongsian strategik istimewa" dan menyatakan kepuasan dengan peningkatan perdagangan dua hala, yang meningkat 66 peratus tahun lepas, menurut laporan agensi berita TASS.
Presiden Rusia menganugerahkan darjah kebesaran tertinggi negara itu, "Order of St. Andrew the Apostle" kepada Modi atas sumbangannya terhadap hubungan India-Rusia.
Modi merupakan pemimpin India pertama yang menerima anugerah tersebut. - Agensi
#Narendra Modi #Vladimir Putin #perang tidak selesai masalah #konflik Rusia-Ukraine