Perang Rusia-Ukraine: Australia jamin jadi pembekal makanan kepada Malaysia
Hasimi Muhamad
Jun 28, 2022 16:28 MYT
Jun 28, 2022 16:28 MYT
PUTRAJAYA: Australia memberi jaminan akan terus menjadi pembekal makanan kepada Malaysia berikutan gangguan rantaian bekalan global susulan Perang Rusia-Ukraine.
Menteri Luarnya, Senator Penny Wong berkata ia selari dengan komitmen di bawah pentadbiran baharu, Perdana Menteri, Anthony Albanese dalam usaha memberikan respons terhadap isu di peringkat global
"Australia akan terus menjadi pembekal yang boleh dipercayai, contohnya gandum dan daging pada masa di mana rantaian bekalan global telah terhalang.
"Sebagai Rakan Kongsi Strategik Komprehensif (CSP) (Australia) akan bekerjasama dengan Malaysia mengenai sebarang isu yang dihadapi dari segi kekangan bekalan yang timbul daripada konflik di Ukraine," katanya dalam sidang akhbar bersama Menteri Luar Malaysia, Datuk Seri Saifuddin Abdullah di sini hari ini.
Senator Penny menambah kerajaan Australia komited kepada pemusatan Asean dan bersedia untuk bekerjasama ke arah keamanan, kestabilan dan kemakmuran rantau itu.
Dalam masa yang sama, beliau berkata dalam mesyuarat bersama rakan sejawatnya, Australia dan Malaysia bersetuju untuk mengadakan kerjasama yang lebih besar termasuk isu-isu melibatkan keselamatan teknologi siber dan pendidikan.
Terdahulu, Senator Penny tiba di Malaysia bagi lawatan kerja tiga hari mulai hari ini dalam usaha mengukuhkan lagi hubungan erat yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Australia sebagai CSP.
Senator Wong turut dijadual mengadakan pertemuan secara berasingan dengan Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein bagi membincangkan isu-isu berkaitan kerjasama dua hala dalam perdagangan dan pelaburan, serta pertahanan.