Perang Palestin-Israel: 'Selesaikan konflik, ambil kira ruang lingkup perubahan iklim'
Fahmi Izuddin
November 1, 2023 12:10 MYT
November 1, 2023 12:10 MYT
KUALA LUMPUR: Kelab Belia Prihatin Malaysia menggesa gencatan senjata terhadap Perang Palestin dan Israel dilakukan dengan segera demi mengelakkan kesan buruk perubahan iklim dunia.
Menurut Setiausaha Agung Kelab Belia Prihatin Malaysia, Rijal Rozman, peperangan ini juga menyebabkan pelepasan karbon buruk dengan kadaran yang banyak.
"Peperangan yang berlarutan hampir sebulan ini bukan sahaja telah dan bakal mengorbankan puluhan ribu nyawa, bahkan menatijahkan pelepasan karbon buruk dengan kadaran yang banyak pada tahap yang membimbangkan," katanya dalam satu kenyataan.
Tegasnya lagi, yang menjadi kebimbangan pada masa kini adalah hanay berbaki 29 hari sebelum pimpinan dunia menghadiri persidangan perubahan iklim (COP28) yang dijadualkan berlangsung pada 30 November hingga 12 Disember 2023.
"Kuasa veto Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu seharusnya sedar bahawa peperangan yang berpanjangan juga bakal menjejaskan peluang dunia dalam mengejar misi mengurangkan kadar pemanasan global,
"Hanya berbaki 29 hari sebelum pimpinan-pimpinan dunia menghadiri persidangan terbesar mengenai perubahan iklim - COP28 berlansung di Bandar Dubai, Emiriah Arab Bersatu," katanya.
Sementara itu, Rijal juga menggesa penyelesaian konflik ini mengambil kira ruang lingkup perubahan iklim di dunia yang diyakini terkesan kepada peningkatan suhu global serta kehilangan biodiversiti
"Selain menggunakan kaca-mata keagaaman, pertentangan budaya dan perbalahan panjang sejarah suku-kaum untuk menyingkap konflik ini, Belia Prihatin menggesa pimpinan dunia menggunakan jalan tengah bagi menyelesaikan konflik ini dari ruang-lingkup perubahan iklim,
"Setiap hari yang berlalu dengan perang yang tidak berhenti bukan sahaja bakal mengakibatkan korban nyawa yang banyak tetapi juga memberi kesan langsung kepada peningkatan suhu global serta kehilangan biodiversiti," tambahnya.