Perang Palestin-Israel: Raja Abdullah gesa gencatan senjata kekal, Biden pula sebaliknya
Agensi
Februari 13, 2024 09:15 MYT
Februari 13, 2024 09:15 MYT
WASHINGTON: Raja Abdullah dari Jordan menjadi pemimpin Arab pertama yang berkunjung ke White House sejak perang di Gaza meletus pada 7 Oktober lalu.
Memetik laporan CNN, kunjungan pemimpin itu ke Washington mendapat perhatian meluas berikutan pendapat beliau mengenai konflik di wilayah Palestin itu berbeza dengan hosnya, Presiden Joe Biden.
Raja Abdullah menggesa seruan untuk "perjanjian gencatan senjata yang berkekalan" di Gaza yang akan mengakhiri pertempuran semasa dan memberi penekanan adalah penting bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bertanggungjawab terhadap Gaza terus menerima dana selepas Amerika Syarikat (AS) dan negara lain menarik sokongan bulan lalu.
Biden pula, tidak berani untuk menggesa pelaksanaan gencatan senjata yang kekal dan pentadbirannya menarik pembiayaan ke atas PBB atas dakwaan beberapa kakitangan terlibat dalam serangan Hamas pada 7 Oktober ke atas Israel.
Keretakan terbuka antara Biden dan Raja Abdullah menggariskan keseimbangan diplomatik halus yang dihadapi Presiden ketika perang di Gaza memasuki bulan kelima.
Berucap dari White House, Raja Abdullah berkata, operasi darat di Rafah yang diumumkan oleh Israel beberapa hari lalu hanya akan membawa kepada kebinasaan.
“Kita tidak boleh berdiam diri dan membiarkan (perang) ini berterusan. Kita memerlukan gencatan senjata yang berkekalan sekarang. Perang ini mesti berakhir,” tegas Raja Abdullah. - CNN