Perang Palestin-Israel: PM Thailand minta bantuan Malaysia bantu pembebasan rakyatnya
Bernama
Oktober 12, 2023 13:29 MYT
Oktober 12, 2023 13:29 MYT
BANGKOK: Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin telah meminta bantuan daripada rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memastikan pembebasan rakyat Thailand yang didakwa dijadikan tebusan oleh Hamas semasa pertempuran Palestin-Israel.
Jurucakap kerajaan, Chai Watcharong berkata Srettha yang dalam lawatan kerja dua hari ke Malaysia mulai Rabu membangkitkan isu warganegaranya yang diculik ketika bertemu dengan Anwar di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.
"Oleh itu, beliau meminta bantuan daripada Malaysia kerana hubungan baik mereka dengan pihak Palestin.
"Perdana menteri (Srettha) bimbang mengenai keselamatan tebusan warganegara Thailand. Ia adalah isu keselamatan yang sensitif. Kami tidak akan mendedahkan butirannya," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Rabu, Kementerian Luar Thailand mendakwa seramai 14 warganya telah dijadikan tebusan sejak 7 Okt. Kira-kira 20 warga Thailand juga dikhuatiri terbunuh dalam pertempuran itu.
Thailand juga meminta bantuan Arab Saudi, Mesir, Jordan, dan Qatar untuk memudahkan rundingan bagi pembebasan mereka.
Media tempatan melaporkan Menteri Pertahanan Sutin Klungsang berkata semua rakyat Thailand yang dijadikan sebagai tebusan dilaporkan selamat.
Kira-kira 30,000 rakyat Thailand bekerja di sektor pertanian Israel.
-- BERNAMA