Perang Palestin-Israel: OIC perlu tetapkan matlamat, tamatkan segera pembunuhan

Hasimi Muhamad
November 11, 2023 15:27 MYT
Zambry berkata, Malaysia mencadangkan agar negara-negara anggota OIC bekerjasama dengan semua rakan kongsi ke arah mencapai kesedaran global mengenai isu Palestin - Foto/fail
KUALA LUMPUR: Malaysia mahu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) menetapkan matlamat dan laluan yang jelas bagi menamatkan segera pembunuhan dan kemusnahan 'membabi buta' yang berlaku ke atas Palestin, akibat kekejaman Israel, ketika ini.
Dalam hal tersebut, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir berkata, Malaysia antaranya mencadangkan agar negara-negara anggota OIC bekerjasama dengan semua rakan kongsi ke arah mencapai kesedaran global mengenai isu Palestin.
Selain itu, jelas beliau OIC perlu bekerjasama rapat dengan negara-negara yang sependapat termasuk di luar OIC, serta organisasi antarabangsa dalam memberi tekanan kepada mereka yang mengamalkan dwistandard.
"(Ini demi memastikan) semua mematuhi prinsip undang-undang antarabangsa, undang-undang hak asasi manusia antarabangsa, dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Zambry sebelum itu menghadiri mesyuarat persediaan di peringkat menteri sempena Sidang Kemuncak Tergempar OIC kali kelapan ibu negara Arab Saudi.
Mengulas lanjut, Zambry berkata Malaysia turut mencadangkan agar OIC bekerja dalam mendorong agenda Palestin di semua platform Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan antarabangsa.
"Organanisasi dan mekanisme utama PBB perlu menegakkan kesucian tanggungjawab mereka, khususnya Majlis Keselamatan, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC)," tambah beliau.
Katanya lagi, usaha bersama dengan semua rakan kongsi yang berkaitan perlu dijalankan dalam memastikan penyampaian bantuan kemanusiaan secara cepat, termasuk bantuan perubatan.
Ujar Zambry, OIC juga mesti mula merancang untuk pembinaan semula pasca konflik kerana dunia kini sedang memerhati dan dalam konteks OIC, hampir 1.9 bilion umat Islam mengharapkan pertubuhan tersebut.
Tegas beliau, Malaysia sedia berganding bahu untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai dan tragedi yang menimpa rakyat Palestin.
Dalam masa yang sama, lima cadangan juga dikemukakan kepada OIC:
Pertama: Seruan untuk gencatan senjata segera, penuh dan kekal;
Kedua: Seruan agar koridor kemanusiaan tanpa syarat, tanpa halangan serta akses kemanusiaan untuk bantuan untuk sampai ke Gaza;
Ketiga: Menggerakkan dan memberi bantuan kemanusiaan kepada mereka yang memerlukan;
Keempat: Menyeru penubuhan mekanisme untuk memastikan perlindungan bagi rakyat Palestin; dan
Kelima: Menyeru untuk menamatkan 'impunity' (pengecualian hukuman) terhadap Israel dan menekankan tanggungjawab Israel untuk jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan.
#Persidangan Tergempar OIC #Zambry Abdul Kadir #Perang Palestin-Israel #umat Islam seluruh dunia
;