Perang Palestin-Israel: Misi mencari air bagaikan menempah maut
Bernama
Februari 8, 2024 16:27 MYT
Februari 8, 2024 16:27 MYT
KUALA LUMPUR: Semenanjung Gaza menyaksikan krisis bekalan air, bahan bakar, makanan dan elektrik yang semakin meruncing.
Mencari air minuman yang selamat pula tidak ubah umpama 'misi bunuh diri' apabila penduduk yang keluar mencari air berdepan risiko menjadi sasaran penembak tepat Israel yang bersembunyi di lokasi tidak diketahui penduduk, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).
Ibrahim Abu Mustafa, 14, menceritakan detik ayahnya Ahmad Abu Mustafa, 40, terbunuh ketika sedang mengikat tong air pada basikalnya, yang berlaku sewaktu ayahnya dan jiran keluar dari tempat berlindung di khemah pelarian Khan Younis untuk mencari air pada 28 Jan lepas.
Ibrahim yang kini menghuni kem pelarian Rafah berkata bunyi tembakan kedengaran selepas ayahnya dan seorang lagi jiran keluar mencari air.
"Sejurus selepas itu kami diberitahu bahawa ayah dan rakannya itu terbunuh ditembak rejim Zionis.
"Kami hanya mampu melihat dari jauh jenazah ayah dan rakannya terbiar kaku di atas jalan raya.
"Kami tidak dapat menghubungi ambulans kerana talian telefon disekat, ambulans pun sukar untuk lalu di jalanan yang penuh dengan sisa konkrit," katanya.
Insiden sama turut menimpa Hamid Naim al-Qudrat, 30, di Khan Younis ketika keluar mencari air pada 25 Jan lepas.
Menurut ahli keluarga al-Qudrat, Hamid keluar membawa tong air menuju ke hospital Palang Merah yang terletak kira-kira 200 meter dari rumahnya untuk mengisi air di situ, malangnya menjadi mangsa sasaran penembak tempat Zionis.
Nasib sama menimpa Muhammad Said dan Mahir al-Ghul yang terkorban ketika keluar mencari air di kawasan perumahan Shaykh Ridwan di Gaza pertengahan Nov lepas.
Saksi kejadian Nizar al-Ghul berkata : "Mereka berdua membawa beberapa tong air untuk diisi dan akan diagihkan kepada jiran-jiran.
"Sebaik melintasi jalan al-Thani, mereka dibedil kereta kebal Zionis yang berada di situ. Mayat mereka terbiar selama dua hari sebelum dapat dikebumikan di pekarangan klinik Shaykh Ridwan."
Tabung Kanak-Kanak PBB (UNICEF) pada Disember pernah memberi amaran bahawa kekurangan akses kepada bekalan air bersih umpama hidup dan mati buat kanak-kanak di Gaza yang hampir tidak mempunyai air untuk diminum.
Amaran mengenai situasi kemanusiaan itu dibuat selepas lebih 10 minggu kepungan ketat Israel selain serangan berterusan askar Zionis di Gaza yang sudah mengorbankan lebih 27,000 nyawa termasuk wanita dan kanak-kanak, manakala 67,000 lagi cedera sejak 7 Okt 2023.
-- BERNAMA