Perang Palestin-Israel: AS gagal jadi ‘perantara jujur’ - Duta Palestin

Agensi
November 5, 2023 06:00 MYT
Setiausaha Negara AS, Antony Blinken (kiri) bersalaman dengan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas dalam pertemuan di Ramallah. - Gambar REUTERS
DUTA Palestin ke United Kingdom (UK) membidas Amerika Syarikat (AS) pada Ahad kerana didakwa gagal menjadi “perantara yang jujur” dalam peperangan Israel-Hamas.
“Kami mahu menyaksikan Amerika memainkan peranan yang jujur sebagai perantara, bukannya mengikut naratif Israel,” kata duta berkenaan, Dr Husam Zomlot kepada CBS sebaik selesai pertemuan antara Setiausaha Negara AS, Antony Blinken dan Presiden Palestin, Mahmoud Abbas.
“Kami memerlukan peranan pihak yang matang dalam mengendalikan peranan itu (sebagai perantara) dan ia adalah Amerika Syarikat – namun, malang sekali, kita tidak memperoleh kematangan itu dan menyebabkan kami tidak mengeluarkan sebarang kenyataan bersama.”
Zomlot yang juga duta terakhir Palestin ke AS menegaskan, mesyuarat antara Blinken dan Mahmoud juga berlangsung dalam suasana yang tegang.
“Presiden kami mendesak agar dihentikan segera gencatan senjata, serangan pembunuhan oleh Israel ke atas orang awam. Perang ini bukannya menentang Hamas,” tegas Zomlot.
“Amat jelas sekali sejak awal lagi, perang ini menentang rakyat kami, bukan hanya di Gaza, tetapi juga di Tebing Barat.”
Duta berkenaan turut membidas AS kerana menolak untuk diadakan gencatan senjata, sebaliknya, meminta diadakan “gencatan kemanusiaan.”
“Kesemua perbincangan mengenai ‘gencatan kemanusiaan’ sangat jelas tidak bertanggungjawab,” kata beliau kepada penyampai CBS, Margaret Brennan.
“Gencatan kemanusiaan – adakah kita mahu menghentikan pembunuhan ke atas kanak-kanak selam enam jam, kemudian menyambung semula pembunuhan ke atas kanak-kanak? Maksud saya, ini langsung termaktub dalam undang-undang antarabangsa.”
Zomlot juga enggan mengutuk serangan yang dimulakan oleh Hamas ke atas Israel pada 7 Oktober lalu, sebaliknya, dengan tegas meminta AS agar “memperakui kedudukan Palestin sebagai sebuah negara yang berupaya melindungi rakyatnya sendiri.” - Agensi
#Perang Palestin-Israel #Amerika Syarikat #perantara perang #Antony Blinken-Mahmoud Abbas
;