Perang Palestin-Israel: Angka korban di Gaza meningkat kepada lebih 400, di Israel 600
Astro Awani
Oktober 8, 2023 06:15 MYT
Oktober 8, 2023 06:15 MYT
LEBIH 250 mayat telah ditemui di tapak festival muzik Supernova dalam serangan pejuang Hamas ke atas Israel.
Kerajaan Israel berkata, sekurang-kurangnya 600 individu terkorban dalam serangan itu, manakala lebih 2,000 lagi cedera dan 100 lagi diculik.
Serangan balas Israel pula telah mengorbankan sekurang-kurangnya 413 penduduk di Semenanjung Gaza dengan 2,300 lagi cedera, menurut kemas kini terkini dari pihak berkuasa Palestin.
Amerika Syarikat (AS) mengumumkan akan menghulurkan lebih banyak bantuan ketenteraan kepada Israel dalam bentuk pembekalan senjata dan meningkatkan anggota tentera di kawasan berkenaan.
Dalam pada itu Hamas berkata, bantuan AS itu menyamai "pencerobohan" terhadap rakyat Palestin.
Kumpulan tersebut turut menyeru pejuang di Tebing Barat serta negara Islam untuk turut serta dalam perjuangan mereka.
Serangan dilancarkan pejuang Hamas ke atas Israel pada Sabtu merupakan pertempuran paling sengit antara kedua-dua belah pihak sejak beberapa dekad.