Perang kini sudah memasuki fasa baharu - Israel

Astro Awani
Disember 5, 2023 08:00 MYT
Anggota tentera rejim Zionis Israel ketika melakukan operasi darat di Semenanjung Gaza. - Foto REUTERS
TEL AVIV: Tentera rejim Zionis Israel menyifatkan perang antara Israel dan kumpulan pejuang Hamas sudah memasuki fasa baharu.
Menurut jurucakap tentera Israel, Danial Hagari, rejim Zionis tekad untuk menghapuskan kumpulan pejuang Hamas di seluruh Semenanjung Gaza demi mencapai matlamatnya.
Dalam satu sidang media, Hagari berkata, Hamas memilih untuk perang dan mendakwa kumpulan pejuang itu telah melanggar perjanjian gencatan senjata.
"Kita telah memasuki fasa baru dalam perang menentang Hamas. Hamas mematahkan jeda kemanusiaan apabila ia melanggar perjanjian pembebasan tebusan, dengan enggan membebaskan wanita, kanak-kanak dan bayi seperti yang dipersetujui.
"Hamas juga menembak roket ke rumah di Israel. Ia sepatutnya jelas kepada semua orang sekarang bahawa Hamas memilih untuk perang dan ia melanggar perjanjian pembebasan tebusan pada 1 Disember," katanya.
Pada ketika ini, sebahagian besar tentera Israel sudah menawan bahagian utara Gaza pada sejak November dan sejak gencatan senjata selama seminggu berakhir, Israel giat melakukan serangan bertubi-tubi ke atas Gaza.
"Kami mengejar mereka di utara Gaza. Kami kini mengejar Hamas di selatan Gaza juga.
"Kami akan beroperasi dengan kekuatan maksimum terhadap pengganas dan infrastruktur Hamas, sambil meminimumkan bahaya kepada orang awam yang Hamas letakkan di sekeliling mereka sebagai perisai," ujar Hagari lagi.
#Israel #Hamas #fasa baharu #Gaza
;