Perang Israel-Gaza masuk hari kedua, 25 maut, 215 cedera
Bernama
Ogos 7, 2022 12:33 MYT
Ogos 7, 2022 12:33 MYT
GAZA: Sekurang-kurangnya 25 rakyat Palestin terbunuh manakala 215 lagi cedera dalam perang antara Israel dan Jihad Islam Palestin (PIJ) yang memasuki hari kedua.
Mangsa yang terkorban termasuk enam kanak-kanak dan dua wanita, menurut Kementerian Kesihatan Gaza dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Tentera udara Israel mensasarkan sebuah kediaman di bandar Rafah di selatan Semenanjung Gaza pada malam Sabtu, hingga mengorbankan dua rakyat Palestin dan mencederakan lebih 30 yang lain, anggota keselamatan Palestin memberitahu Xinhua.
Jurucakap tentera Israel Avichai Adraee berkata dalam satu kenyataan bahawa serbuan itu mensasarkan komander briged selatan PIJ Khaled Mansour.
PIJ mengumumkan seorang anggotanya Ziad Al Mudallal terbunuh dalam serangan itu tetapi tiada kenyataan dikeluarkan mengenai Mansour.
Sementara itu, sekurang-kurangnya lima orang, termasuk empat kanak-kanak, terbunuh manakala 15 lagi cedera akibat serangan di kem pelarian Jabaliya di utara Gaza pada malam Sabtu, menurut sumber Palestin.
Israel menafikan pihaknya bertanggungjawab terhadap serangan itu, dan mendakwa roket milik PIJ menyebabkan "pembunuhan tragis kanak-kanak" di Jabaliya.
-- BERNAMA