'Perang' dua chef Singapura, syarikat penerbitan UK tarik balik buku masakan
Agensi
Oktober 11, 2021 23:29 MYT
Oktober 11, 2021 23:29 MYT
SYARIKAT penerbitan Britain, Bloomsbury telah menarik balik buku masakan yang ditulis oleh bekas peserta MasterChef UK, Elizabeth Haigh di pasaran, selepas isi kandungannya dikatakan diciplak dari sebuah buku masakan lain oleh chef dari Singapura, Sharon Wee.
Haigh, yang bertanding dalam pertandingan memasak terbitan BBC pada tahun 2011, menerbitkan buku resipi berjudul 'Makan' terbitan Bloomsbury Absolute pada Mei lalu.
Namun, Wee mendakwa bahawa sebahagian isi kandungan Makan telah diciplak dari bukunya, Growing Up in a Nonya Kitchen.
Wee yang kini menetap di New York, menerbitkan buku masakan itu pada tahun 2012, dengan majoriti isi kandungannya adalah rekaan semula resipi turun temurun ibunya.
Walaupun resipi tidak termasuk dalam undang-undang hak cipta di UK atau AS, dapat diperhatikan sebahagian prosa dan kenangan masa kecil yang tertulis dalam Makan mempunyai persamaan yang ketara dengan isi kandungan buku Wee.
Haigh, 33, belum menjawab dakwaan itu, walaupun tidak ada lagi rujukan mengenai Makan di akaun Instagramnya.
Akaun Twitternya pula diletakkan dalam mod privasi.
Susulan penyertaannya dalam MasterChef, Haigh membuka restoran Pidgin di London, yang kemudiannya mendapat penarafan bintang Michelin.
Chef kelahiran Singapura itu kemudiannya membuka sebuah lagi restoran, Mei Mei di Borough Market, dan pernah muncul sebagai juri dalam MasterChef dan Saturday Kitchen.