'Perang Dingin' mungkin berlaku jika sentimen anti-Rusia berterusan

Reuters
Mac 28, 2018 20:26 MYT
Grigory Logvinov bercakap semasa sidang akhbar di Kedutaan Rusia di Canberra, Australia berkenaan tindakan Australia mengusir dua diplomat Rusia pada hari Selasa. -Foto Reuters
Dunia akan mengalami situasi Perang Dingin jika Barat terus melakukan penentangan terhadap Moscow susulan serangan agen saraf terhadap bekas perisik Rusia di United Kingdom (UK), pada Rabu.
Duta Rusia ke Australia Grigory Logvinov berkata, "Pihak Barat perlu sedar bahawa kempen anti-Rusia tidak membawa sebarang manfaat pada masa hadapan, dan kita akan berada dalam situasi Perang Dingin jika ia berterusan."
Logvinov juga menolak dakwaan bahawa Moscow menjadi dalang di sebalik serangan terbabit dan berkata bahawa Rusia masih belum memberi kata putus untuk memberi tindak balas terhadap tindakan menghalau pegawai diplomat Rusia oleh sekutu UK itu.
"Kami berkata kepada mereka bahawa kita tidak mempunyai sebarang bukti. Pihak UK tetap berdegil untuk tidak memberi sebarang bukti.
"Mereka juga telah melanggar peruntukan dan protokol Konvensyen Larangan Senjata Kimia," tegas Logvinov.
Pihak Rusia menafikan keterlibatan dalam serangan agen saraf terhadap bekas perisik Rusia, Sergei Skripal dan anak perempuannya di Salisbury, England pada 4 Mac.
Amerika Syarikat dan negara-negara di Kesatuan Eropah (EU) mengusir pegawai diplomat Rusia secara besar-besaran sebagai tindak balas daripada insiden tersebut.
#agen saraf #Australia #bekas perisikan #Grigory Logvinov #Moscow #Perang Dingin #Rusia #serangan #United Kingdom
;