Perang di Ukraine hanya gangguan sementara - Khairy
Agensi
Mei 27, 2022 17:46 MYT
Mei 27, 2022 17:46 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, melihat situasi perang di Ukraine sebagai satu gangguan yang bersifat sementara dan tidak akan membawa sebarang perubahan.
Memetik laporan The Washington Post, Khairy berkata peperangan membabitkan kuasa besar bukanlah satu perkara baharu.
“Persaingan kuasa besar sentiasa ada. Sebelum ini membabitkan Kesatuan Soviet dan Amerika Syarikat, kini China dan Amerika Syarikat.
"Jadi bagi kami, (perang Ukraine) sebenarnya hanyalah satu gangguan sementara, bukan titik perubahan.
"Hujah membabitkan warna kulit masih kelihatan relevan. Ketika ini, keganasan dan perang menjejaskan orang Barat yang berkulit putih, maka tiba-tiba timbul kemarahan, dari Washington sehingga ke Davos," katanya yang kini berada di Davos untuk menghadiri Forum Ekonomi Dunia (WEF).
WEF tahun ini didominasi isu seperti perang di Ukraine, penghujung wabak COVID-19 yang masih tidak menentu, serta lonjakan harga makanan dan bahan api, mendedahkan jurang yang besar antara peserta.
Penganalisis dan penggubal dasar dari negara di luar wilayah Barat mempersoalkan reaksi beremosi Eropah terhadap perang di Ukraine, yang seolah-olah membayangkan reaksi double-standard dalam isu konflik di tempat lain serta pengabaian terhadap isu pelarian terdahulu.