Perang dagang perlu selesai dengan perundingan, bukan membuli - Tun Mahathir
Fareez Azman
Disember 14, 2019 19:52 MYT
Disember 14, 2019 19:52 MYT
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan semua negara termasuk negara kuasa besar agar menyelesaikan perang dagang yang berlaku ketika ini melalui perundingan.
Jelas Perdana Menteri, jika tidak diselesaikan dengan cara baik, dikhuatiri akan membawa kesan kepada negara lain serta dilabel sebagai 'pembuli'.
"Perang dagang seperti perang lain, iaitu primitif di mana hanya negara kuasa besar menentang negara lemah dan ini adalah membuli. Ia juga tidak selari dengan hak asasi manusia yang sentiasa menjadi perhatian, tetapi mangsanya adalah orang miskin, disebabkan oleh kos yang tinggi, kekurangan bekalan dan lain-lain.
"Konflik berkaitan perdagangan ini perlu diselesaikan menerusi resolusi dan perundingan mengikut pengadilan undang-undang. Negara perlu bersedia untuk melepaskan sesuatu dalam mendapatkan sesuatu, bukan bertindak rigid dalam menyelesaikan masalah.
"Di akhir perang dagang akan menentukan siapa yang menang dan kalah. Namun jika berkompromi, semua pihak tidak akan rugi dan diselesaikan dengan cara baik, rakyat juga tidak akan terkesan," kata Dr Mahathir ketika berucap pada Forum Doha di Qatar pada Sabtu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, Malaysia amat prihatin dengan keadaan ekonomi global ketika ini yang menyaksikan kepentingan negara melebihi kepentingan antarabangsa.
Ujarnya, jika kepentingan negara terus dilaksanakan dikhuatiri akan menyaksikan negara kuasa kecil dipinggirkan pembangunan ekonominya.
"Malaysia amat prihatin akan situasi ekonomi global ketika ini di mana rata-rata negara beralih ke kanan iaitu memilih kepentingan negara berbanding kepentingan antarbangsa. Multiliteralisme kini menjadi pilihan semua, perkara ini berlaku apabila kemajuan komunikasi serta dunia tanpa sempadan yang dipelopori oleh negara maju.
"Saya khuatir ini akan memberi potensi yang besar bagi negara maju untuk mereka menikmati pasaran bebas tanpa batasan. Ia bakal menyaksikan pembangunan dunia yang tidak seimbang, negara yang lemah sudah tentu akan kalah apabila kerjasama multiliteral dan dunia tanpa sempadan dilaksanakan.
"Kita kena beri perhatian juga kepada negara kuasa kecil yang memerlukan duti import sebagai hasil pendapatan mereka," kata Perdana Menteri lagi.
#AS
#buli
#China
#ekonomi
#Forum Doha di Qatar
#Global
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Negara kuasa besar
#Negara kuasa kecil
#pasaran
#perang dagang
#Perdana Menteri
#undang-undang