Perancis siap sedia hadapi gelombang panas keempat
Astro Awani
Ogos 7, 2022 07:45 MYT
Ogos 7, 2022 07:45 MYT
PARIS: Perancis bersiap-sedia menghadapi gelombang panas keempat musim ini selepas kemarau terburuk dalam sejarah melanda negara itu.
Keadaan itu menyebabkan beberapa kampung terputus bekalan air bersih dan petani memberi amaran kekurangan hasil menjelang musim sejuk.
Pejabat Perdana Menteri Elisabeth Borne telah menubuhkan pasukan krisis untuk menangani kemarau.
Suhu dijangka mencecah 37 Celsius di barat daya negara itu pada Isnin.
Agensi cuaca negara Meteo France berkata ia adalah kemarau terburuk sejak 1958 dan dijangka bertambah buruk sehingga sekurang-kurangnya pertengahan bulan.
Secara purata, kurang daripada satu sentimeter hujan turun merentasi Perancis pada bulan Julai.
Kata Kementerian Pertanian, penuaian jagung dijangka 18.5 peratus lebih rendah tahun ini berbanding 2021.
Pengendali Nuklear EDF minggu lalu mengurangkan pengeluaran kuasanya di sebuah loji di barat daya Perancis disebabkan suhu sungai yang tinggi di Garonne.
Sekatan air dilaksanakan di hampir semua tanah besar Perancis untuk menjimatkan keperluan asas itu.